Isnin, 20 Februari 2017 | 1:25pm

M&A perbankan Islam munasabah: AllianceDBS

KUALA LUMPUR: Gelombang baharu aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dalam perbankan Islam adalah munasabah, walaupun masa menjadi risiko utama, kata AllianceDBS Research.

Katanya, institusi kewangan yang berpotensi melalui M&A termasuk Malaysia Building Society Bhd (MBSB) dan Bank Muamalat Malaysia Bhd (Muamalat).

Menurut AllianceDBS, MBSB menarik disebabkan perniagaan pembiayaan peribadi yang besar serta aset perbankan Islam yang lumayan manakala potensi Muamalat yang tidak disenaraikan, bersandarkan pemilik saham terbesarnya DRB-Hicom Bhd yang berhasrat mengurangkan pegangannya.

Katanya, secara tidak langsung Bursa Malaysia juga menjadi proksi kepada pertumbuhan dalam perbankan Islam dengan transaksi dalam platform dagangan komoditi, Bursa Suq al-Sila (BSAS), dijangkakan meningkat selari pertumbuhan dalam pembiayaan Islam.

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan dalam pembiayaan Islam domestik dijangkakan terus mengatasi pertumbuhan pinjaman konvensional, dipacu oleh dorongan pengawalseliaan untuk mengantarabangsakan kewangan Islam.

"Kami jangkakan pertumbuhan dalam pembiayaan Islam domestik akan terus mengatasi pertumbuhan pinjaman konvensional dengan kadar kompaun tahunan empat tahun sebanyak 12 peratus dalam tahun kewangan 2015 hingga 2020, berbanding dua peratus dalam pinjaman konvensional," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, sebahagian besarnya disokong oleh dorongan yang semakin meningkat oleh bank bagi memenuhi sasaran nisbah Bank Negara Malaysia sebanyak 40 peratus pembiayaan Islam kepada jumlah pinjaman dalam sistem.

AllianceDBS berkata, ada harapan pertumbuhan akan terus meningkat, disokong oleh peningkatan dalam keterangkuman kewangan bagi industri menerusi inovasi produk.

"Inovasi produk akan menjadi pengubah strategi. Berdasarkan pengetahuan dan kepakaran yang diperoleh melalui inisiatif perintis dan penawaran penyelesaian dalam industri perbankan Islam, Malaysia tidak ragu-ragu lagi sudah bersedia untuk menjadi hab global bagi kewangan Islam," katanya.

Firma penyelidikan itu menamakan proksi utama perbankan Islam - BIMB Holdings Bhd (BIMB) - sebagai institusi kewangan patuh Syariah terbesar tersenarai di Bursa Malaysia, dengan potensi besar untuk menerajui inovasi produk.

"Kami memilih BIMB (syarikat induk Bank Islam) atas kepakaran mendalam dalam industri, yang kami yakini membentuk kelebihan daya saing yang kuat kerana ia meletakkan mereka sebagai pemimpin dalam inovasi produk.

"Maybank Islamic melengkapkan senario perbankan Islam dengan saiz dan kehadiran serantaunya yang akan memberikan kelebihan untuk bersaing di peringkat global," katanya.

BERNAMA

Berita Harian X