Rabu, 24 Disember 2014 | 12:34pm

Van Gaal tertekan balas budi Ferguson


Louis van Gaal

MANCHESTER: Louis van Gaal mendedahkan merasa tertekan untuk mencipta kejayaan di Manchester United dan membayar budi atas sokongan tinggi ditampilkan bos terdahulu, Alex Ferguson.

Dalam satu temubual baru-baru ini, Ferguson memberikan sokongan kepada Van Gaal dan menyifatkan pengurus United itu mampu menambah jumlah trofi yang pernah dimenanginya selepas 27 tahun di Old Trafford.

Ketika ini, usaha Van Gaal tampak berjaya dengan membawa United ke kelompok tiga teratas Liga Perdana Inggeris memasuki tempoh sibuk Krismas yang kembali mencipta rasa optimis di dalam kelab itu sejak Ferguson bersara pada 2013.

Begitupun, menurut Van Gaal, sokongan itu ada harganya dan berkata: "Ia menakjubkan. Apabila kamu datang ke Manchester United, kerana saya mengenali Sir Alex, kamu berharap dia akan menyokong kamu.

"Apabila dia menyokong kamu, dia melakukannya bukan saja pada minggu ini, namun dalam sidang media yang lain juga.

"Dia menunjukkan banyak keyakinan dan kepercayaan kepada diri saya dan kami memerlukannya sebagai jurulatih, pengurus di Manchester United. Kamu memerlukan rasa percaya dan sokongan daripada pengurus seperti Alex.

"Saya gembira kerana kamu akan dapat bekerja dengan lebih mudah. Namun ia juga satu tekanan kerana dia mempercayai kamu dan ia memberikan kamu tekanan untuk mendapatkan keputusan yang baik.

"Tidak mudah untuk memenangi perlawanan di Liga Perdana Inggeris," kata pengurus kelahiran Belanda itu yang menyifatkan salah satu sasarannya, menjadikan Old Trafford gelanggang yang digeruni musuh, berjaya.

United ketika ini tidak pernah tewas dalam tujuh perlawanan dan akan beraksi menentang Newcastle pada Jumaat. - AFP

Berita Harian X