Isnin, 20 Februari 2017 | 11:45am

Belum ada kata putus haram Dego Ride - Nancy

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mahu mengambil sikap terburu-buru dalam memuktamadkan keputusan mengharamkan perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, menyifatkan perkhidmatan Dego Ride sebagai inovasi mempelbagaikan pengangkutan awam, selain menyediakan sumber penjanaan kewangan untuk golongan berpendapatan bawah 40 peratus (B40).

"Kita kena kaji perkhidmatan Dego Ride ini mencakupi tekanan pasaran, kemampuannya menyediakan pendapatan tambahan dan pilihan pengangkutan awam kepada golongan B40.

"Ia selaras dengan pendekatan kerajaan sebelum ini dalam meluluskan perkhidmatan teksi Uber di Malaysia kerana kita lihat ia adalah antara inovasi pengangkutan, selain menyediakan pilihan kepada pengguna.

"Oleh itu, kerajaan belum ada kata putus mengenai keputusan mengharamkan perkhidmatan Dego Ride," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Makmal Transformasi Bas Ekspres, di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini sebentar tadi.

Rabu lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dilaporkan berkata kabinet bersetuju dengan keputusan kementerian berkenaan untuk mengharamkan perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride susulan faktor keselamatan.

Nancy berkata, keputusan disuarakan Kementerian Pengangkutan untuk melarang perkhidmatan Dego Ride belum muktamad, justeru ia terbuka kepada penilaian dan perbincangan lanjut.

"Saya ingin mengambil pendekatan neutral (berkecuali) dalam isu Dego Ride ini kerana kita tidak mahu menyekat inovasi pengangkutan awam di Malaysia.

"Berhubung apa yang dikatakan Kementerian Pengangkutan sebelum ini, setahu saya kabinet tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai langkah mengharamkan Dego Ride susulan faktor keselamatan," katanya.

Berita Harian X