Ahad, 19 Februari 2017 | 7:53pm

Motosikal bertembung, 2 maut 1 parah


DUA penunggang motosikal maut manakala seorang pembonceng yang juga murid sekolah berusia 11 tahun cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Kilometer 44.8 Jalan Batu Pahat- Mersing, berhampiran Ayer Hitam, petang tadi. - Foto ihsan polis

KLUANG: Dua penunggang motosikal maut, manakala seorang pembonceng cedera parah apabila motosikal mereka bertembung di Kilometer 44.8 Jalan Batu Pahat- Mersing, berhampiran Ayer Hitam, petang tadi.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, Muhamad Syahmil Abdul Malik, 23 dan Kwong Kam Cheong, 61, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Pembonceng motosikal, yang juga anak Kam Cheong, Kwong Yah Hui, 11, patah kaki kiri dan cedera parah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Kluang. 

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham, berkata kemalangan dipercayai berlaku selepas Kam Cheong dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menjemput anaknya dari sekolah.

"Sampai di tempat kejadian, Kwong Kam Cheong serta anaknya yang menuju ke arah Kluang membelok ke kanan jalan dan dirempuh motosikal dinaiki Muhamad Syamil dari arah bertentangan.

"Rempuhan kuat itu menyebabkan ketiga-tiga mangsa tercampak ke dalam longkang besar," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

32 dibaca
Berita Harian X