Ahad, 19 Februari 2017 | 6:18pm

Maut dirempuh ketika periksa kenderaan di lorong kecemasan


KETUA Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam. - Foto Amrullah Abdul Karim

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut apabila kereta pacuan empat roda yang diletakkan di lorong kecemasan untuk memeriksa kerosakan kenderaannya itu dirempuh sebuah kereta dari arah selatan di Kilometer 410.2 Lebuh Raya Utara Selatan, awal pagi tadi.

Mangsa Muhammad Faris Nurazman Amrullah, 22, maut di tempat kejadian manakala tiga rakannya cedera ringan. Dua lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, kereta mangsa hilang kawalan dan terbabas mengenai penghadang besi di sebelah kanan lebuh raya.

"Pemandu dan penumpang pada ketika itu selamat dan turun dari kereta terbabit untuk menolak kereta mereka lorong kecemasan di sebelah kiri lebuh raya bagi memeriksa kerosakan kereta mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Supramaniam berkata, sebuah kereta jenis Honda Accord dari arah belakang merempuh belakang kereta mangsa.

"Ketika itu, pemandu pacuan empat roda itu berada di bahagian belakang kenderaan. Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak sejauh kira-kira 20 meter dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berita Harian X