Ahad, 19 Februari 2017 | 3:59pm

'Jadikan kemalangan satu pengajaran'


ASIAH Md Ariff (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Fatimah Nasir dan suaminya Zulkefli, keluarga mangsa kemalangan basikal Mohammad Azrie Zulkefli di Taman Sinaran Kempas, Johor Bahru .- Foto zulkarnain ahmad tajuddin

JOHOR BAHRU: Kemalangan membabitkan kumpulan berbasikal akibat dirempuh kereta di Jalan Lingkaran Dalam di sini, pagi semalam, perlu dijadikan pengajaran buat semua ibu bapa termasuk golongan remaja.

Mayang Morni M Noor, 34, berkata meskipun sedih dengan tragedi yang berlaku dan cara kematian anaknya, Muhammad Shahrul Nizam Maruddin, 14, yang maut bersama tujuh sahabat dirempuh kereta itu, beliau sekeluarga reda dengan ketentuan Tuhan.

"Saya anggap ini sebagai satu pengajaran dalam hidup bagi memperbaiki diri, malah saya tidak akan menyalahkan mana-mana pihak di atas kejadian yang menimpa anak saya.

"Saya pikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan Allah tetapi mungkin ada hikmah di sebaliknya. Perkara ini sudah berlaku kepada keluarga ini, jadikanlah iktibar," katanya.

Beliau ditemui selepas menerima lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Asiah Md Ariff, di Taman Desa Mutiara di sini, hari ini.

Mayang Morni yang bekerja sebagai operator kilang di Seelong, Senai, dekat sini, berkata beliau sempat menyediakan juadah makan malam terakhir kepada arwah sebelum anaknya maut dalam tragedi berkenaan.

Sementara itu, Fatimah Nasir, 43, berkata kejadian yang menimpa anaknya, Mohammad Azrie Danish Zulkefli, 14, tidak perlu menjadi spekulasi negatif terutama di laman sosial media.

Katanya, beliau berharap orang ramai menghormati ahli keluarganya, selain berhenti menyalahkan ibu bapa yang masih trauma dengan kejadian terbabit.

"Saya terkilan kerana ketika kejadian, arwah keluar rumah tanpa memaklumkan saya tujuannya. Biasanya arwah hanya akan menghabiskan masa di rumah kelab basikal yang terletak kira-kira 500 meter jarak dari rumah kami di Taman Sinaran Kempas, dekat sini," katanya.

Berita Harian X