Ahad, 19 Februari 2017 | 11:59am

Sukan SEA: Hoki yakin bolot emas

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yakin mampu menyapu bersih empat pingat emas ditawarkan dalam acara hoki pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, biarpun timbul keraguan terhadap persiapan 'ala kadar' skuad hoki dalam dewannya.

Ketika temasya dwi tahunan tinggal enam bulan saja lagi, gambaran itu cukup merisaukan kerana sebagai tuan rumah Malaysia yang dilihat tidak berdepan masalah menguasai acara hoki padang lelaki dan wanita, pasti turut mengharap perkara sama untuk acara hoki dalam dewan lelaki dan wanita.

Namun, sehingga hari ini belum ada sebarang latihan untuk skuad lelaki dalam dewan dengan wanita pula dikatakan baharu memulakan latihan di Klang baru-baru ini.

Bagaimanapun, Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal, percaya ia tidak akan merencatkan peluang menjadikan hoki sebagai 'lubuk emas' tatkala pihaknya sudah merangka perancangan terbaik.

"Untuk lelaki kita hanya akan memulakan persiapan dalam masa terdekat selepas berakhirnya saingan Liga Perdana Hoki Malaysia (MHL-TNB) 2017 selepas mengambil kira komitmen pemain bersama kelab.

"Bagaimanapun, untuk wanita kita mulakan sedikit awal kerana melihat pada jurang permainan kita yang semakin mengecil berbanding pencabar lain, " kata Subahan.

Difahamkan, barisan pemain skuad pembangunan lelaki dan wanita negara bakal menjadi taruhan utama untuk beraksi pada acara hoki dalam dewan di temasya itu nanti.

Ini bermakna, Wallace Tan yang kini mengemudi skuad pembangunan lelaki secara automatik menjadi pengendali skuad lelaki hoki dalam dewan Sukan SEA, dengan tugasan wanita pula diserahkan kepada Iman Gobinathan.

Selain itu, Subahan berkata pihaknya turut akan memanggil pemain Kelab Hoki Kuala Lumpur, Kevin Lim dan Paul Lissek (bekas jurulatih negara) untuk membantu persiapan skuad hoki dalam dewan negara.

"Lim bukan saja akan menjadi barisan jurulatih sokongan tetapi juga kemungkinan besar akan menyarung jersi negara pada Sukan SEA nanti, selain itu kami juga memanggil Lissek kerana kedua-dua individu ini tidak asing dengan acara itu ketika di Jerman, " katanya.

Berita Harian X