Ahad, 19 Februari 2017 | 8:29am

Wenger mahu kekal bersama Arsenal


ARSENE Wenger. - Foto AFP

LONDON: Arsene Wenger mendedahkan yang dia mahu kekal dalam pengurusan bola sepak tempoh panjang dan buat kali pertamanya memberi isyarat yang dia akan melanjutkan kontraknya selaku pengurus Arsenal.

Masa depan pengendali dari Perancis itu hangat diperbincangkan dengan kontraknya bakal tamat pada hujung musim ini dan dia dikecam hebat penyokong ekoran prestasi anak buahnya di atas padang.

Awal minggu ini Wenger berkata, dia berhajat untuk terus berkhidmat selaku pengurus dan walaupun tempoh selama 21 tahun di Stadium Emirates semakin menghampiri penghujung, keutamaannya adalah kekal di Arsenal.

Ditanya mengenai masa depannya, pengendali berusia 67 tahun itu berkata: "Jika kamu mempunyai sebuah pasukan, mungkin kamu boleh mengambil saya bekerja.

"Ini bukan ancaman. Pilihan utama saya sentiasa untuk mengendali Arsenal. Saya fikir, saya sudah membuktikannya. Namun saya sudah cukup dewasa untuk menganalisa situasi."

Kekecewaan terbaru Wenger hadir Rabu lalu apabila Arsenal ditewaskan 5-1 oleh Bayern Munich pada aksi Liga Juara-Juara, sekali gus meletakkan mereka di ambang penyingkiran ketujuh berturut-turut pada pusingan 16 terbaik kejohanan berkenaan.

Mereka juga ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Chelsea.

Namun, Wenger percaya dirinya masih mempunyai tempoh setidak-tidaknya empat tahun dalam karier pengurusannya dan mahu berkhidmat lebih lama daripada legenda Manchester United, Alex Ferguson yang berusia 71 tahun ketika bersara pada tahun 2013.

"Ferguson mempunyai kepentingan lain dalam kehidupan ini. Dia lebih tua daripada saya hari ini. Dia empat tahun lebih tua dan bersara pada usia 71 tahun. Saya 67. Mungkin (saya boleh mengendali) lebih lama, atau kurang.

"Saya tidak tahu. Setiap orang berbeza. Saya kagum dengan Ferguson. Dia seorang pengurus yang luar biasa namun sudah mengecapi semuanya. Saya belum berada di tahap itu, " katanya.

AFP

Berita Harian X