Ahad, 19 Februari 2017 | 12:01am
BASRI Abdillah

PENA perlu lebarkan prestij malam puisi


IPG Kampus Ilmu Khas menerima Anugerah Citra Karya Dr Noriati A Rashid sempena Pesta Buku Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) 2017 di IPG Kampus Bahasa Melayu, di sini, hari ini.- Foto Zulfadhli Zulkifli

KUALA LUMPUR: Angka 56 pada umur Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan usia penganjuran Malam Baca Puisi PENA sudah sepatutnya menjadi ramuan baik untuk persatuan itu melebarkan prestij acara apresiasi sastera berkenaan.

Acara yang dianjurkan bersama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sudah menjangkau usia 18 tahun penganjurannya, masih mampu menarik penonton.

Apatah lagi, Malam Baca Puisi PENA di sini pada minggu lalu, dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan & Kesenian) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Masran Mohd Yusop, sekali gus memberikan isyarat terhadap usaha sama dengan jabatan yang menjadi payung kepada kesenian berkenaan.

Presiden PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad dalam ucapan pembukaannya turut menyentuh keperluan terhadap sokongan dan kerjasama JKKN untuk menyemarakkan aktiviti berpuisi yang terus mekar dalam kesibukan kota raya.

Apatah lagi tidak banyak acara seumpama yang mampu bertahan dan terus mendapat sambutan selepas diuji oleh zaman.

Justeru, apabila Masran secara terbuka menyebut JKKN akan cuba membantu sebaiknya, pasti saja PENA perlu cepat mengusahakan secara formal dan tidak boleh berpeluk tubuh.


AMINAH Awang Basar.

Semarak aktiviti berpuisi

Sementara itu, Panggung Sutung Umar Rs yang menjadi medan lontaran bait puisi dan lagu puisi dimeriahkan dengan hadirin yang secara sukarela mengambil giliran mendeklamasikan puisi.

Antara yang tampil mendeklamasikan puisi ialah Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Aminah Awang Basar, yang membacakan Jebat Yang Tidak Jadi Menderhaka karya Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Zurinah Hassan.

Turut mendeklamasikan puisi dan berlagu puisi ialah Basri Abdillah dengan dua puisi, iaitu Mengenang Pujangga dan Tiada Lagi Keris Bahasa serta Dr Hani Salwah Yaakup (Sekuntum Kembang di Taman Jauh), selain Sabri Yunus dan Adinda Amiro.

Acara yang bertemakan Senyumlah Kuala Lumpur bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan itu, turut menyaksikan pelancaran dua buku Aminah Mokhtar, iaitu Bidadari dan Qayyum yang masing-masing diterbitkan ITBM dan DBP serta Kumpulan Puisi Bahasa Bangsa Merdeka (Ahmad Sarju).

Berita Harian X