Sabtu, 18 Februari 2017 | 9:14pm

Tiga faktor sumbang kemenangan BN


PENGARAH Operasi Barisan Nasional  (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar meraikan kemenangan calon Barisan Nasional, Datuk Amar Jamilah Anu yang diwakili anakknya, Azizul Annuar Adenan selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya DUN Tanjung Datu di Dewan Masyarakat Lundu. - Foto Luqman Hakim Zubir

LUNDU:  Pengarah Operasi Barisan Nasional  (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) adalah kesinambungan untuk meneruskan legasi Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata, tiga faktor menjadi penyumbang utama kemenangan Puan Sri Jamilah Anu antaranya kecemerlangan yang ditinggalkan Adenan yang lebih mesra dipanggil Tok Nan.

Selain itu, pembabitan Jamilah dalam kalangan masyarakat Tanjong Datu dan jentera parti yang kuat dan kukuh ketika berkempen.

"Tidak ketinggalan kesungguhan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg menyelesaikan isu yang dihadapi masyarakat di kawasan ini juga membuatkan pengundi begitu yakin dengan BN.

"Isu yang dijaja parti lawan dilihat gagal meraih perhatian pengundi yang terbukti masih berpegang teguh dengan kecemerlangan BN yang terbukti memperjuangkan semua lapisan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengumuman rasmi keputusan PRK Tanjong Datu di sini malam ini.

Sementara itu, Azizul Annuar Adenan yang mewakili ibunya, pada pengumuman keputusan itu berkata, majoriti tinggi yang dicapai menunjukkan penduduk kawasan itu masih mengenang jasa bapanya, Allahyarham Tok Nan.

Malah katanya, ia juga sebagai tanda kepercayaan yang diberikan rakyat Tanjong Datu kepada ibunya untuk meneruskan legasi Tok Nan.

"Kami amat berterima kasih kepada rakyat di Tanjong Datu atas kemenangan pada PRK ini....saya beterima kasih juga kepada mereka kerana memberi kepercayaan kepada ibu saya.

"Saya percaya mereka membuat keputusan yang betul dan ini menggambarkan bahawa rakyat Tanjong Datu menghargai jasa arwah ayah saya," katanya.

Berita Harian X