Sabtu, 18 Februari 2017 | 6:21pm

MHC penuhi permintaan Dhaarma Raj


Muhammad Dhaarma Raj Abdullah. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) bersedia memenuhi permintaan ketua jurulatih, Dhaarma Raj Abdullah yang berhasrat membawa skuad hoki wanita negara 'berkampung' di Jerman dan Belanda.

Skuad Malaysia Tigress sebelum ini dikatakan menjadikan Itali dan Ireland sebagai destinasi pilihan untuk mengadakan Siri jelajah Eropah pada April depan, namun ia tidak menjadi kenyataan.

Perubahan itu dibuat MHC selepas mengambil kira pandangan Dhaarma dan perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, K Logan Raj sebentar tadi.

"Ya, perancangan itu berjalan lancar. Kita sudah merangkakan 14 hingga 16 perlawanan di Eropah.

"Setakat ini apa yang kami boleh pastikan tujuh perlawanan berdepan skuad remaja Jerman dan tujuh perlawanan berdepan kelab Liga Premier Belanda yang mana ia satu pendedahan kompetitif yang bagus," katanya.

Sejurus membantu skuad wanita negara mara buat kali pertama ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia ketika pusingan kedua bulan lalu, Dhaarma menyuarakan hasratnya untuk membawa pemainnya ke Eropah.

Misi utama Dhaarma adalah supaya barisan pemainnya meraih perlawanan kompetitif sekali gus mampu memberi saingan di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia yang juga kejohanan untuk mencari tiket ke Piala dunia 2018 di London.

Bagaimanapun, Logan berkata keputusan akhir hanya akan diputuskan dalam tempoh dua minggu lagi.

"Kami memerlukan dua minggu lagi untuk memutuskan sebaik program latihan skuad wanita yang dirangka pengarah teknikal MHC (Terry Walsh) siap.

"Ini kerana ketika ini kami juga sedang berhubung dengan England, Scotland dan mungkin Belgium. Jadi kami tidak boleh mendedahkan butiran lanjutnya lagi," katanya.

Berita Harian X