Rabu, 24 Disember 2014 | 8:20am

Pelajar Aceh tidak pernah lupa tragedi tsunami


MANGSA Tsunami, Rahmawati Zainuddin, 19, ketika menjahit telekung untuk pasaran sekitar Aceh di rumah anak yatim Darul Ulum Al Fata, Kayee Kunyet. - Foto Mohd Fadli Hamzah

BANDA ACEH: Setiap kali menjelang 26 Disember, guru dan pelajar Sekolah Menengah Atas (SMA) Negeri 1 Lhoknga akan mengenang kembali tragedi tsunami yang melanda Aceh 10 tahun lalu sehingga mengakibatkan lebih 400 guru dan pelajar sekolah itu terkorban.

Dan setiap tahun, mereka tidak akan lupa menyedekahkan al-Fatihah dan membaca Yasin serta bertahlil buat mereka yang terkorban dalam insiden itu. Buat bendahari sekolah itu, Wardiani Ibrahim, 48, insiden berkenaan akan sentiasa terpahat dalam ingatannya kerana hampir separuh muridnya terkorban dalam kejadian itu.

"Saya masih ingat lagi, sebelum kejadian tsunami kami mempunyai kira-kira 700 murid dan apabila selepas tsunami hanya 300 lebih sahaja yang hadir ke sekolah," katanya kepada Bernama.

Wardiani, guru matematik yang telah berkhidmat hampir 20 tahun di sekolah itu berkata, semasa kejadian itu, beliau berada di rumahnya yang terletak di Bandar Acheh, 13km daripada tempat kejadian, namun tidak pernah melupakan keselamatan anak muridnya yang menetap di Kampung Lhoknga.

Sementara itu, seorang daripada pelajar sekolah itu, Wahyu Shah Putra Khairuddin, 17, yang kini di semester tiga (tingkatan tiga), menceritakan kisah beliau dan sahabat karibnya Kawani Ardian Shah, 17, mengharungi detik-detik cemas ketika dibadai ombak kuat.


PELAJAR SMU 1 Lhoknga ketika latihan gempa bumi yang dilakukan oleh MERCY Malaysia. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Semasa kejadian, beliau dan Kawani dihanyutkan lebih lima kilometer dari sekolah berkenaan selepas dipukul ombak kuat, dan ia merupakan saat hidup dan mati baginya semasa mengenangkan apa yang yang akan terjadi ke atas ketika berpaut kepada sebatang pokok.

Bagaimanapun sahabat karibnya Kawani serta ibu bapa dan kakaknya maut dalam kejadian itu.

Bagi Ainul Mardiah Nordin Ibrahim, 17, pelajar semester lima (Tingkatan Lima), tiada kata yang dapat digambarkan apabila melaporkan diri selepas kejadian tsunami apabila tiada rakan sedarjahnya kelihatan pada masa itu.

Ketika itu, beliau sudah berhasrat untuk tidak menyambung pelajarannya namun atas dorongan dan bimbingan kedua ibu bapanya, beliau menguatkan semangat untuk meneruskan pelajarannya sehingga ke hari ini.

Beliau berkata hampir tiga suku daripada 34 rakan sekelasnya maut dalam insiden itu.

SMA Negeri 1 Lhoknga yang terletak hanya satu kilometer dari pesisiran pantai, turut musnah dibadai ombak kuat tsunami, dan kini telah dibina semula sebagai sebuah sekolah satu tingkat.

Kini sekolah itu dibangunkan semula oleh Mercy Malaysia menjadikannya dua tingkat. - BERNAMA

Berita Harian X