Sabtu, 18 Februari 2017 | 2:33pm

Pelajar UniMAP terkandas di Gunung Baling

MANGSA yang cedera ketika mendaki Gunung Baling dibawa turun oleh anggota penyelamat. - Foto Safuri Kamarudin

BALING: Sekumpulan pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terkandas di puncak Gunung Baling di sini, selepas seorang daripada mereka tergelincir dan mengalami kecederaan.

Nor Atirah Mohamad, 23, terseliuh kaki kiri selepas tergelincir ketika menuruni gunung berkenaan, menyebabkan pergerakan mereka terjejas.

Difahamkan, mereka mula mendaki gunung berkenaan kira-kira jam 5 pagi, namun terpaksa menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan susulan kecederaan rakan terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Mohd Sufian Alias, berkata pihaknya menerima panggilan jam 9.44 pagi sebelum 12 anggota dibantu Tim Penyelamat Kedah (SARKED) dan Sahabat Bomba Baling bergegas ke lokasi.

"Operasi menyelamat berjalan lancar dan kita mengambil masa tiga jam untuk membawa mangsa turun ke kaki gunung," katanya yang mengesahkan mangsa dihantar ke Hospital Baling (HB) untuk rawatan lanjut.

Berita Harian X