Sabtu, 18 Februari 2017 | 1:25pm
KEADAAN ular sawa sepanjang lima meter yang membelit seorang buruh warga Indonesia, Sapar, 55, di Kampung Bukit Rambutan, Jabur.- Foto Rosli Ilham

Mati dibelit ular sawa


SEORANG buruh warga Indonesia, Sapar, 55 maut selepas dibelit seekor ular sawa di Kampung Bukit Rambutan, Jabur. - Foto Rosli Ilham

CHUKAI: Seorang buruh warga Indonesia mati selepas dibelit seekor ular sawa sepanjang lima meter di Kampung Bukit Rambutan, Jabor dekat sini, malam tadi.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Safar, 55, dipercayai mati di tempat kejadian selepas dibelit ular seberat lebih 100 kilogram itu, kira-kira jam 9.15 malam.  

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Jabor dengan menunggang motosikal apabila terserempak reptilia terbabit melintas jalan.

Dia dipercayai cuba menangkap ular terbabit tetapi reptilia berkenaan bertindak agresif lalu membelit tubuh mangsa.

Jeritan mangsa meminta tolong didengari Mohd Yazid Ibrahim, 30, yang kebetulan melalui kawasan itu bersama isterinya.

"Kami bergegas untuk memeriksa apa yang berlaku dan terkejut melihat ular sawa itu membelit mangsa dari paras kaki hingga ke leher.

"Saya cuba membantu melepaskan belitan ular berkenaan tetapi ia bertindak agresif lalu meminta isteri mendapatkan bantuan penduduk kampung," katanya.

Ular sawa terbabit hanya melepaskan mangsa kira-kira sejam kemudian tetapi penduduk kampung mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

 Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya,  jenazah mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Berita Harian X