Rabu, 24 Disember 2014 | 7:48am

Sepakat tafsiran Perlembagaan kekal kestabilan

Mampukah Perlembagaan menjamin kesejahteraan dan kelangsungan negara? Persoalan ini amat penting untuk kita sama-sama fikir. Saya timbulkan soalan ini kerana sudah banyak perkara serius membelit perbincangan berkaitan Perlembagaan.

Walaupun saya timbulkan persoalan di atas, saya tidak pernah hilang kepercayaan kepada Perlembagaan untuk menjaga dan seterusnya memastikan kestabilan dan kesejahteraan negara. Saya percaya, Perlembagaan kita dibentuk sedemikian rupa dengan mengambil kira kedudukan, peranan dan sumbangan semua kelompok masyarakatnya, mampu menampung segala macam pancaroba.

Saya percaya Perlembagaan Persekutuan 1957 adalah antara Perlembagaan terbaik di dunia. Saya berpandangan begini kerana Perlembagaan Persekutuan mempunyai pelbagai dimensi penyelesaian kepada pelbagai masalah bernegara.

Kebimbangan saya lahir sehingga saya menimbulkan persoalan di atas kerana kita belum dan mungkin payah untuk mencapai kata sepakat apakah maksud yang mahu dibawa oleh Perlembagaan itu.

Risiko berlaku ketegangan dalam tafsiran

Ramai yang terdidik dalam bidang undang-undang hanya melihat kepada hitam dan putih peruntukan Perlembagaan. Malah, mereka yang bukan terdidik dalam disiplin undang-undang juga cenderung begitu. Saya maksudkan hitam putih peruntukan Perlembagaan sebagai peruntukan harfiah atau lafziah Perlembagaan. Pendekatan hitam putih dalam Perlembagaan lebih berisiko untuk menyebabkan berlakunya ketegangan dalam tafsiran. Maksud saya, pendekatan hitam putih itu akan menyebabkan tafsiran Perlembagaan yang literal. Ini tidak boleh berlaku kerana Perlembagaan bukan semata-mata hitam putih undang-undang.

Perlembagaan yang digubal dalam keadaan negara menghadapi pelbagai masalah dan kerenah memerlukan lebih daripada hitam putih peruntukannya. Sebagai contoh, hal berkaitan perhubungan kaum, hal berkaitan perhubungan antara negeri yang membentuk Persekutuan dan kedudukan elemen warisan dibahas dan dibincangkan dengan mendalam sejak pembentukan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 lagi. Hal-hal berkaitan perkara itu tidak dihurai dengan patah atau hitam putih perkataan dalam Perlembagaan. Oleh itu dalam memahami perkara berkenaan, ia memerlukan kefahaman dan penilaian kepada isu yang dibangkitkan dalam proses gubalannya. Ia tidak semestinya ditulis dalam bentuk patah perkataan Perlembagaan itu.

Berkaitan dengan itu, hal berkaitan soal jati diri negara, hala tuju dan falsafah negara secara tidak langsung terangkum dalam perbahasan dan perbincangan berkenaan. Ini tidaklah disebut dalam Perlembagaan dengan terang-terang.

Usaha mendapatkan pemahaman sepenuhnya bukanlah proses mudah. Namun, saya percaya, dalam usaha kita mendidik masyarakat berkaitan Perlembagaan, kita membuka ruang yang lebih lebar untuk masyarakat lebih mengenali Perlembagaan Persekutuan. Namun, kita masih memerlukan masa untuk menjadikan masyarakat kita lebih berupaya mengenali Perlembagaan ini sepenuhnya.

Sebagai contoh, kebanyakan kita hanya merujuk kepada Laporan Suruhanjaya Reid sebagai dokumen sejarah Perlembagaan. Laporan Suruhanjaya Reid itu sebenarnya mengandungi hanya sedikit maklumat mengenai Perlembagaan kita. Maklumat lain kita boleh dapati dalam dokumen lain, termasuklah dokumen berkaitan penggubalan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Perjanjian 1948 itulah yang menjadi dokumen pokok dalam penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Walaupun Laporan Suruhanjaya Reid itu yang formal, ia tidak dapat menjelaskan semua isi Perlembagaan.

Selain itu, Perlembagaan (bukan saja Perlembagaan kita) seperti asalnya, bukan semata-mata undang-undang. Sekiranya bertulis, Perlembagaan difaham sebagai undang-undang tertinggi negara. Tetapi, Perlembagaan bukanlah mengisi dan mentafsir dirinya sendiri. Perlembagaan itu diisi dengan sejarah, falsafah, prinsip sosiologi, prinsip politik dan juga dengan nilai pentadbiran negara.

Syor institusi kumpul pakar

Justeru, walaupun Perlembagaan adalah milik awam atau milik semua lapisan khalayak, dalam hal berkaitan prinsip atau falsafahnya, Perlembagaan itu bukan sepenuhnya bergantung kepada awam atau khalayak ramai untuk membahas dan membentangkannya. Ilmu undang-undang Perlembagaan juga seperti bidang ilmu lain, ia memerlukan ahli untuk berbincang dan berbahas.

Oleh itu, saya mencadangkan supaya kita mempunyai institusi yang diberikan tanggungjawab mengumpulkan pakar dalam bidang berkaitan yang saya sebutkan di atas, kita membahas dan mencapai, (sekurang-kurangnya sedikit), penegasan kepada semua persoalan yang merantai Perlembagaan kita ketika ini. Kita hendaklah serius mengenai perkara ini kerana kita bergantung kepada Perlembagaan untuk hidup sejahtera bernegara.

Penulis ialah Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X