Rabu, 24 Disember 2014 | 7:44am

Tiga maut nahas dekat Kuala Krai


ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Kem Desa Pahlawan di sini, hari ini. - Foto ihsan bomba

KOTA BHARU: Dua beranak dan seorang lelaki maut selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Kem Desa Pahlawan di sini, hari ini.

Dalam kejadian 7.25 malam itu, Azmad Harun, 46, yang memandu kereta Honda City maut bersama anaknya Aidil Adib Alias, 14, akibat kecederaan parah di kepala.

Tiga lagi anak wanita berkenaan, iaitu Aidil Azim, 11, dan Azra Afifa, 16, cedera ringan manakala Adam Aqif, 6, parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Machang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Mohd Rafain Mat Zin, berkata pemandu sebuah lagi kereta jenis Proton Iswara, Tuan Iswadi Tuan Ismail, 41, meninggal dunia di hospital sama (Hospital Machang).


KEADAAN kereta mangsa yang remuk dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Kem Desa Pahlawan di sini, hari ini. - Foto ihsan bomba

Katanya bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu kira-kira 7.30 malam tadi.

"Ketika pihak kami sampai, kesemua mangsa yang meninggal dunia berada dalam keadaaan tersepit. Kami mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit," katanya ketika dihubungi di sini.

Ketika kejadian, kereta Honda City itu dalam perjalanan dari Kota Baharu ke Machang dikatakan bertembung dengan kereta Proton Iswara dari arah bertentangan.

Sementara itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Negeri, Superintendan Azli Mat Nor ketika di hubungi mengesahkan kejadian. - BERNAMA

22 dibaca
Berita Harian X