Sabtu, 18 Februari 2017 | 12:05am

Raja Gambus Malaysia dari pandangan S Fauziah

MUAR: Alunan petikan gambus Allahyarham Fadzil yang digelar Raja Gambus Malaysia masih segar dalam ingatan peminat Ghazal dan rakan seperjuangannya sehingga kini.

Ternyata alunan petikan gambus yang dimainkan oleh Allahyarham Fadzil berjaya meletakkan muzik ghazal dan irama padang pasir setaraf dengan genre muzik lain, sekali gus mewarnai seni muzik tanah air, terutama pada era 1960-an hingga 1990-an.

Walaupun sudah lebih 10 tahun pemergian bekas Raja Gambus Malaysia, setiap sumbangan lagu ghazal, zapin dan irama padang pasir masih segar dalam ingatan peminat seni tradisional masyarakat Melayu Johor.

Paling terkesan dengan pemergian insan besar seni tanah air itu sudah pastilah pasangan duetnya iaitu S Fauziah, 70, yang sering bergandingan ketika mempersembahkan lagu ghazal, zapin dan irama padang pasir.

Fauziah atau nama sebenarnya, Fauziah Samsuri, berkata beliau mengenali Allahyarham Fadzil sejak mula menceburi bidang lagu ghazal pada lewat 1960-an sehingga saat beliau meninggal dunia pada tahun 2006.


AKSI Allahyarham Fadzil Ahmad ketika bermain gambus dalam satu persembahan di Johor. - Foto ihsan Pembaca

PENYANYI Ghazal, Fauziah Samsuri atau lebih dikenali sebagai S Fauziah menunjukkan kulit album milik beliau di Sungai Abong. - Foto Badrul Kamal Zakaria

"Saya secara peribadi melihat Allahyarham sebagai seorang yang baik hati, suka buat lawak dan tidak pernah berasa cemburu terhadap sesiapa pun. Saya boleh katakan beliau adalah seorang yang sangat bagus dan sangat suka bekerja.

"Ramai orang sangat sukakan beliau. Beliau juga macam orang yang tidak pernah susah dan sentiasa memberi dorongan kepada rakan seangkatan termasuk saya," katanya ketika ditemui BH Plus di rumah anaknya di Taman Mutiara, Sungai Abong, dekat sini.

Fauziah berkata, ia terbukti ketika beliau perlu membawa sebuah lagu dengan vokal tinggi pada Pertandingan Dendang Rakyat pada 1970-an hingga menyebabkannya resah kerana bimbang gagal membawakan lagu itu dengan baik.

"Allahyarham kata kepada saya. Fauziah, kau jangan rasa susah, kau tekan sahaja suara kau, insya-Allah boleh. Alhamdulillah, saya berjaya membawakan lagu itu sehingga Sri Maharani Ghazal menjadi johan pada pertandingan itu.

"Sejak hari itu, Allahyarham Fadzil dan seorang lagi anggota kumpulan yang juga pemimpin Sri Maharani Ghazal, Allahyarham Ahmad Jusoh yang lebih dikenali sebagai Che Mat akan membantu saya menyanyi terutama yang memerlukan vokal yang tinggi," katanya.


ANTARA kulit album lagu yang dirakam oleh S Fauziah pada 1970-an. - Foto ihsan Pembaca

ANTARA kulit album lagu yang dirakam oleh S Fauziah pada 1970-an. - Foto ihsan Pembaca

Fauziah yang banyak menyanyikan lagu ciptaan Allahyarham Fadzil berkata, perwatakan yang ceria dan sering membuat lawak menyebabkan banyak karya Allahyarham diselitkan dengan seni kata yang berbaur lucu sehingga menjadikan karyanya lebih dekat di hati peminat.

"Ilhamnya untuk mencipta lagu ini tidak kira waktu. Kadang-kadang, kalau di dalam kereta pun beliau sempat membuat lagu. Allahyarham Che Mat akan menguruskannya termasuk membuat gubahan muziknya," katanya.

Fauziah berkata, paling melucukan apabila ramai peminat menyangkakan beliau dan Allahyarham Fadzil adalah pasangan suami isteri di luar pentas berikutan banyak menyertai program nyanyian dan persembahan bersama.

"Orang sangka saya kahwin dengan dia sebab hubungan kami amat rapat seperti adik beradik. Sebenarnya, saya berkahwin dengan Allahyarham Che Mat pada tahun 1970-an. Allahyarham Fadzil yang asyik mengusik saya dan arwah suami sehingga kami akhirnya berkahwin.

"Allahyarham juga sempat menggarap lagu bertajuk 'Ke Rumah Tok Kadi'. Itulah kenangan yang saya akan ingat sampai bila-bila," katanya.


ANTARA kulit album lagu yang dirakam oleh S Fauziah pada 1970-an. - Foto ihsan Pembaca

Ditanya pembabitannya dalam seni muzik ghazal, Fauziah berkata, ia bermula pada sekitar 1967 atau 1968 apabila menyertai kumpulan Setia Ghazal Hospital Muar yang diasaskan oleh bapa saudaranya iaitu Allahyarham Abdul Rasyid Abdullah.

"Tidak lama kemudian, saya menyertai Kumpulan Ghazal Penambang sebelum menyertai Sri Maharani Ghazal Muar yang turut dianggotai oleh Allahyarham Fadzil," katanya.

Beliau berkata, dari situlah beliau yang ketika itu berusia 20-an mula berlatih dan akhirnya berjaya membawakan lagu-lagu ghazal, terutama selepas menyertai Kumpulan Sri Maharani Ghazal.

"Nak menyanyi ghazal ini kadang-kadang agak susah sikit sebab ada bahagian tertentu kita kena tarik sedikit suaranya. Sebab itulah saya mengamalkan pantang seperti hanya minum air kosong, mengelak makan nasi minyak dan bergoreng.

"Ini kerana kalau persembahan ghazal biasanya bermula dari jam 8 malam hingga 4 pagi. Kalau saya tak pantang, nyanyi tiga empat lagu mesti suara dah jadi serak.

"Bukan saya sahaja, Allahyarham Fadzil pun sama tetapi dia makan apa sahaja. Cuma kalau nak buat rakaman atau persembahan, biasanya beliau akan berpuasa. Makan pun hanya setakat nasi dengan sayur air," katanya.


PENYANYI Ghazal, Fauziah Samsuri atau lebih dikenali sebagai S Fauziah (tengah) bersama anak dan cucunya di Sungai Abong. - Foto Badrul Kamal Zakaria

BIODATA
Nama : Fauziah Samsuri
Umur  : 70 tahun
Anak   : 3 orang
Cucu  : 10 orang
Cicit   : 1 orang
Alamat: Taman Mutiara, Sungai Abong, Muar
Lagu Popular : Dia Datang, Ke Rumah Tok Kadi, Burung Putih, Bunga Mawar dan Hari Ribut

Kerjaya  : Kumpulan Setia Ghazal Hospital Muar
: Kumpulan Ghazal Sri Penambang
: Kumpulan Sri Maharani Ghazal.


AKSI Allahyarham Fadzil Ahmad ketika bermain gambus dalam satu persembahan di Johor. - Foto ihsan Pembaca

INFO

  • Perkembangan seni muzik ghazal di Johor membabitkan penjelajahan yang lama bermula dari tempat asalnya di Tanah Arab, zaman kerajaan Riau-Lingga sehingga turut dikaitkan dengan nama Allahyarham Datuk Bentara Luar, Mohd Salleh Perang dan diwarisi oleh cucunya, Musa Yusof atau lebih dikenali sebagai Pak Lomak.

  • Peralatan muzik ghazal pada mulanya terdiri daripada peti harmonium, biola, gambus dan tabla atau do (gendang) sebelum ditambah dengan beberapa jenis alat muzik yang sesuai seperti gitar, kecapi Jepun, keroncong dan marakas.

  • Antara penyanyi terkenal yang mempopularkan irama ghazal Johor ialah Allahyarham Fadzil Ahmad, Datuk Sharifah Aini, Rosiah Chik, Datin Rafeah Buang dan Datin Orkid Abdullah.
63 dibaca
ALLAHYARHAM Fadzil Ahmad menunjukkan kemahiran bermain gambus. - Foto ihsan Pembaca
ANTARA kulit album lagu yang dirakam oleh S Fauziah pada 1970-an. - Foto ihsan Pembaca
ANTARA kulit album lagu yang dirakam oleh S Fauziah pada 1970-an. - Foto ihsan Pembaca
ANTARA kulit album lagu yang dirakam oleh S Fauziah pada 1970-an. - Foto ihsan Pembaca
ANTARA kulit album lagu yang dirakam oleh S Fauziah bersama Ahmad Jusoh pada 1970-an. - Foto ihsan Pembaca
Berita Harian X