Khamis, 16 Februari 2017 | 6:20pm

BIMB serah zakat kepada MAIK


KETUA Pegawai Syariah BIMB, Mohd Nazri Chik menyampaikan zakat sebanyak RM496,995.17 daripada Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) kepada Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi di Kota Bharu, hari ini. - Foto Faris Zainuldin

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menerima zakat sebanyak RM496,995.17 daripada Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), hari ini.

Penyerahan zakat itu dilakukan Ketua Pegawai Syariah BIMB, Mohd Nazri Chik kepada Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi.

Dr Nik Mohd Azlan berkata, zakat itu adalah yang pertama diterima MAIK tahun ini.

Katanya, tahun lalu MAIK berjaya mengutip pelbagai zakat berjumlah RM162.70 juta berbanding tahun sebelumnya RM161.71 juta.

"MAIK terus konsisten mengagihkan zakat kepada golongan lapan asnaf terutama bagi membantu pesakit kronik, dengan jumlah tertinggi sumbangan bernilai hampir RM100 juta.

"Bantuan fisabilillah pula termasuk membiayai pelajar miskin yang cemerlang dalam pelajaran untuk menyambung pengajian di luar negara membabitkan 200 pelajar," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek zakat perniagaan BIMB 2016 kepada MAIK di sini, hari ini.

Nik Mohd Azlan berkata, MAIK juga akan meneruskan kerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk mengkaji latar belakang penerima zakat MAIK bagi melihat sejauh mana mereka berjaya keluar dari kemiskinan selepas menerima bantuan.

"Kami mahukan bantuan bulanan kepada golongan asnaf memberi pulangan positif, terutama mereka yang terbabit dalam perniagaan kecil-kecilan supaya mampu berdikari dan keluar dari kemiskinan hidup," katanya.

Sementara itu, Mohd Nazri berkata, sumbangan zakat berkenaan adalah bagi tempoh kewangan berakhir Disember 2016.

"BIMB menyerahkan zakat perniagaan kepada MAIK sejak 2007 dengan jumlah zakat tertinggi berjumlah RM1 juta pada 2008," katanya.

Berita Harian X