Khamis, 16 Februari 2017 | 5:33pm

RHB galak e-pengeluaran KWSP bayar pinjaman perumahan

PENGARAH Eksekutif Perbankan Runcit Kumpulan, U Chen Hock. - Foto Muhd Asyraf Sawal

KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd menggalakkan pelanggan akaun pinjaman perumahannya memilih perkhidmatan pengeluaran dalam talian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), e-Pengeluaran, untuk membantu mengurangkan komitmen pembayaran balik bulanan.

Pengarah Eksekutif Perbankan Runcit Kumpulan, U Chen Hock, berkata pelanggan yang mendaftar bagi akaun dalam talian KWSP, i-Akaun, dan mempunyai simpanan mencukupi dalam Akaun 2, boleh memohon untuk mendapatkan perkhidmatan itu.

"Kerjasama dengan KWSP bertujuan memudahkan pelanggan membayar balik pinjaman perumahan mereka melalui dua kaedah.

"Ahli KWSP yang mempunyai akaun pinjaman perumahan dengan RHB boleh mengeluarkan caruman mereka dalam Akaun 2 KWSP untuk membeli, membina, mengurangkan atau menyelesaikan dengan bank melalui perkhidmatan e-Pengeluaran," katanya.

Apabila permohonan diluluskan, ia akan mengambil tempoh kira-kira tiga hari bagi dana dari Akaun 2 KWSP pemohon dipindahkan ke akaun pinjaman perumahan RHB mereka bagi tujuan pilihan pembayaran semula yang dipilih pelanggan.

Chen Hock berkata, setakat ini terdapat 122,000 transaksi sejak perkhidmatan itu mula diperkenalkan pada Jun 2013.

"Kira-kira 88 peratus pengeluaran adalah bagi ansuran bulanan, dan 12 peratus untuk penyelesaian pinjaman. Kebanyakan anggota KWSP yang muda memilih ansuran bulanan, memandangkan mereka boleh menggunakan Akaun 2 KWSP untuk membantu mengurangkan pinjaman perumahan.

"Mereka boleh menggunakan wang daripada akaun itu, tanpa bergantung kepada gaji bulanan mereka," katanya.

Chen Hock juga berkata, pelanggan yang menjadi pemilik bersama hartanah berkenaan turut boleh memohon untuk mendapatkan kemudahan itu.

Bank lain yang menyertai kerjasama bagi perkhidmatan e-Pengeluaran KWSP termasuk Maybank, Bank Islam, OCBC Bank, Bank Simpanan Nasional, AmBank, UOB Bank dan CIMB Bank. - BERNAMA

Berita Harian X