Khamis, 16 Februari 2017 | 4:59pm

Tengku Abdullah titah laluan Habu-Tringkap disegerakan


PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hadir tiba di Pejabat Tanah dan Daerah Cameron Highlands di Cameron Highlands, hari ini. - Foto L Manimaran

CAMERON HIGHLANDS: Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menitahkan supaya projek pembinaan laluan alternatif antara Habu ke Tringkap di sini dapat disegerakan.

Titah baginda, penyegeraan projek itu penting bagi menyuraikan trafik dan mengurangkan kesesakan yang kerap berlaku di pekan Tanah Rata dan Brinchang.

"Berhubung dengan lalu lintas (Cameron Highlands), kita bersetuju tadi supaya kerajaan negeri Pahang akan memohon sedikit peruntukan (daripada Persekutuan) untuk membina laluan alternatif dari Habu ke Tringkap sejauh kira-kira 20 kilometer melalui bukit tanpa perlu memotong (bukit) kalau boleh.

"Kita akan minta MB (Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob) dan PM (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) kalau boleh percepatkan projek laluan ini kerana ia akan kurangkan kesesakan lalu lintas di Tanah Rata dan Brinchang," katanya.

Baginda bertitah demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kampung Desa Kayangan dan beramah mesra bersama penduduk Brinchang sempena Lawatan Rasmi Pemangku Sultan Pahang Ke Cameron Highlands di sini hari ini.

Terdahulu, baginda diberikan taklimat ringkas mengenai pembangunan tanah tinggi itu oleh Pegawai Daerah Cameron Highlands, Ishak Mohd Napis di Pejabat Tanah dan Daerah Cameron Highlands di sini.

Baginda kemudian berkenan mengadakan lawatan ke Kea Farm dekat sini bagi meninjau keadaan sembilan gerai yang terbakar dalam kejadian bulan lalu.

Tengku Abdullah bertitah, projek penempatan semula gerai berkenaan dijangka mengambil masa antara enam ke lapan bulan bergantung kepada keadaan cuaca.

Berita Harian X