Selasa, 23 Disember 2014 | 3:56pm

Pemegang saham setuju MAHB beli lapangan terbang di Turki

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mendapat kelulusan pemegang sahamnya untuk membeli baki 40 peratus kepentingan ekuiti terkumpul dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISGIA) serta unit komersialnya, LGM dalam urus niaga bernilai 285 juta euro (RM1.22 bilion).

Pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) hari ini, pemegang saham pengendali lapangan terbang itu juga meluluskan Terbitan Hak Boleh Lepas sebanyak 275,777,660 saham baharu bernilai RM1 setiap satu dalam MAHB pada asas satu Saham Hak bagi setiap lima saham sedia ada MAHB yang dipegang pada satu tarikh yang akan ditentukan kelak oleh Lembaga Pengarah.

Hasil yang dicapai pada EGM itu memberikan kedudukan yang baik kepada syarikat kerana akan mengukuhkan kehadiran MAHB sebagai pengendali lapangan terbang di Turki dan Eropah, di samping terus memantapkan kedudukan strategiknya sebagai pengendali lapangan terbang berkelas dunia.

"Kami sangat teruja dengan prospek pertumbuhan jangka panjang dalam ISGIA berikutan pasaran penerbangan Turki adalah antara yang paling pesat berkembang dalam kalangan 10 bandar raya lapangan terbang terbesar dunia," kata Pengerusinya, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dalam satu kenyataan hari ini.

Terbitan Hak yang diluluskan itu akan meningkatkan modal pemegang saham MAHB sebanyak 20 peratus.

Pelaksanaannya juga akan mengukuhkan kedudukan kewangan MAHB dengan menambah baik kecairan serta daya fleksibel kewangannya, di samping mengoptimumkan struktur modal kumpulan.

Berita Harian X