Khamis, 16 Februari 2017 | 8:41am

SL1M tawar 25,000 kerja, latihan

KETUA Sekretariat SL1M Norashikin Ismaail. - Foto Mohd Azren Jamaludin

KUALA LUMPUR: Lebih 25,000 peluang pekerjaan dan latihan ditawarkan kepada pencari pekerjaan bersempena Program Temuduga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Zon Tengah 2017 yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 21 dan 22 Februari.

Tawaran pekerjaan ini tidak hanya fokus kepada golongan tertentu sebaliknya ia terbuka kepada semua pihak daripada hanya berkelulusan darjah enam atau sekadar pandai membaca sehinggalah ke pemegang Ijazah Kedoktoran (PhD).

Ketua Sekretariat SL1M Norashikin Ismail berkata, program temuduga SL1M yang pertama diadakan pada tahun ini menyediakan jumlah pekerjaan terbesar sejak ia diadakan bermula 2011.

"Kita ada lebih dari 100 syarikat besar dan kecil pada program ini dan beratus-ratus temuduga akan dijalankan secara terus. Saya percaya setiap yang datang tidak akan balik tangan kosong dan akan pulang membawa satu pekerjaan sekurang-kurangnya jika berusaha lebih.

"Kelulusan juga terbuka daripada darjah enam sehinggalah yang ada PhD kerana ada syarikat hanya mahu pekerja yang cukup sekadar boleh membaca saja.

"Menerusi program ini ada syarikat yang menawarkan pekerjaan tetap secara terus kepada pemohon. Saya berharap pencari pekerja yang mendapat pekerjaan pada program ini supaya segera merebut peluang dan jangan berlengah membuat keputusan.

"Mereka perlu keluar dari zon selesa kerana sekarang ini bukan mudah untuk mendapat pekerjaan," katanya pada sidang media.

Norashikin berkata, pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang dua hari program ini dijalankan antaranya pemberian cenderahati percuma kepada 40,000 pencari kerja pertama selain sesi motivasi dan taklimat untuk menghadiri temuduga juga diberikan.

Pada program tahun ini, SL1M melantik penyanyi Faizal Tahir dan kumpulan pelawak Zero sebagai duta dan akan bersama berkongsi pengalaman dalam mencari pekerjaan.

Bagi graduan yang hadir pada sesi temuduga ini mereka berpeluang mengikuti program SL1M dan akan menjalani latihan 'soft skills', 'inhouse' dan 'on-job-training'.

Graduan akan diajar cara membuat resume, berkomunikasi dan penampilan ketika menghadiri temu duga.

Latihan yang diberikan di bawah program SL1M menjadikan pelatihnya berkualiti, sekali gus mudah mendapat pekerjaan kecuali mereka yang terlalu memilih pekerjaan dan mempunyai masalah sikap.

Menerusi latihan SL1M, graduan kebiasaannya akan mendapat pekerjaan selepas mereka menjalani latihan. Jangka masa latihan bergantung kepada keperluan syarikat yang melatih dan tempoh maksimum adalah 12 bulan.

"Kita sasarkan 30,000 pengunjung terdiri daripada graduan dan pencari kerja dari seluruh negara akan hadir pada program ini.

"Jangan lepaskan peluang datanglah ke program ini pelbagai peluang pekerjaan menanti dan jangan lupa bawa resume dan pastikan berpakaian kemas," katanya.

Program temuduga terbuka ini akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan beliau akan turut merasai pengalaman menjalani temuduga selain melancarkan Buku dan Sistem Pengurusan SL1M.

Selain itu, seramai 28 pelatih SL1M yang berjaya mendapat pekerjaan akan dibawa untuk berkongsi pengalaman bersama pengunjung.

Faizal Tahir, Zero dilantik duta Skim Latihan 1Malaysia

Penyanyi terkenal, Faizal Tahir dan trio pelawak tiga beradik, Zero dilantik sebagai duta Skim Latihan 1Malaysia (SL1M).

Pemilihan mereka berdasarkan semangat dan usaha tanpa mengenal erti putus asa sehingga mampu mencipta kejayaan dalam bidang seni.

Zero yang dianggotai Atu, Sharif dan Syaiful akan turut bersama pengunjung pada Program Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 21 dan 22 Februari ini.

NORASHIKIN (tengah) bersama Faizal (dua dari kiri) dan kumpulan Zero selepas sidang media Program Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia di PWTC, kelmarin. - Foto Asyraf Hamzah

Bagi tiga beradik berkenaan, peluang bersama pengunjung pada program itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk berkongsi pengalaman dan kesusahan dilalui sebelum dikenali sebagai pelawak popular.

"Kami bukan sekadar menghiburkan pengunjung pada program itu nanti, tetapi akan turut memberi motivasi.

"Saya dan Atu hanya ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala Syaiful berhenti sekolah di Tingkatan Satu kerana perlu bekerja membantu keluarga.

"Kami pernah melalui pengalaman sebagai penganggur, jadi kami faham perasaan mereka yang masih mencari kerja dan berasa sangat dekat dengan mereka," kata Sharif.

Sementara itu, Faizal yang berterima kasih kepada Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (JPM) selaku penganjur program SL1M kerana memilihnya sebagai duta, akan turut memberi motivasi kepada pencari kerja.

"SL1M turut mendidik agar tidak pandang rendah orang lain.

"Program ini juga memberi ruang dan peluang kepada semua rakyat mendapat kerja tanpa mengira latar belakang pelajaran," katanya.

Faizal akan menyertai program SL1M di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang, Mac ini.

Berita Harian X