Rabu, 15 Februari 2017 | 11:30pm
KERETA jenis Toyota Innova dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas merempuh tembok di tingkat tiga dan jatuh di tempat letak kereta di luar bangunan kondominium itu.

Lelaki maut kereta terjunam dari tingkat 3


MANGSA ditemui dalam keadaan tersepit di dalam keretanya yang remuk selepas kenderaan itu jatuh dalam keadaan terbalik. - Foto Ihsan Bomba KL

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terjunam dari tingkat tiga tempat letak kereta bertingkat di Blok B Kondominium Pelangi Indah, Jalan Ipoh di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, Ong Bang Hin, 52, mati di tempat kejadian selepas kereta jenis Toyota Innova dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas merempuh tembok di tingkat tiga dan jatuh di tempat letak kereta di luar bangunan kondominium itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Penguasa Kanan Bomba I Ruhisha Haris, berkata 12 anggota dari Balai Bomba Sentul, Jinjang dan Hang Tuah dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 10.57 pagi.

"Mangsa ditemui dalam keadaan tersepit di dalam keretanya yang remuk selepas kenderaan itu jatuh dalam keadaan terbalik.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya ketika dihubungi BH, tadi.

Berita Harian X