Rabu, 15 Februari 2017 | 6:46pm

Sarawak laksana dasar perumahan baharu


ANGGOTA Bomba berusaha mengeluarkan seorang mangsa yang maut dan seorang cedera selepas tersepit dalam kereta selepas terlibat kemalangan dengan sebuah bas ekspress di Simpang Tiga, Parit Buntar. - Foto ihsan Bomba

LUNDU: Sarawak melaksanakan dasar perumahan baharu untuk memastikan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah memiliki kediaman lebih selesa.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg berkata, dasar berkenaan dilaksanakan menerusi Skim Perumahan Khas Rakyat (SPEKTRA) dengan Lundu menjadi lokasi pertama pelaksanaannya.

Beliau berkata, menerusi SPEKTRA, rumah mampu milik yang disediakan berbeza dengan yang dibina Kerajaan Pusat kerana ia bertiang.

"Rumah SPEKTRA yang dibina kerajaan negeri ini bertiang dengan ketinggian 2.5 meter kerana kebanyakan lokasi rumah mampu milik itu berada di kawasan tanah rendah.

"Rumah yang dibina agensi Kerajaan Persekutuan pula semuanya tidak bertiang dan itulah sebabnya, apabila banjir melanda, ramai penduduk di kawasan perumahan itu terpaksa berpindah ke pusat pemindahan banjir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perumahan Skim Pembesaran Kampung di Taman Perumahan Tabuan di sini, hari ini.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan negeri berkata, menerusi dasar baharu itu, reka bentuk dan harga rumah mengikut kadar yang ditetapkan kerajaan negeri.

"Sebagai permulaan, sebanyak 26 unit rumah dibina menerusi skim ini di Lundu. Selepas itu, kita akan kembangkan skim ini ke seluruh negeri dengan beberapa tempat sudah dikenal pasti, antaranya di Bengoh di Padawan, Beladin di Betong dan Sungai Asap di Belaga," katanya.

Beliau berkata, bagi memudahkan pembeli mendapatkan pinjaman, kerajaan negeri turut menyediakan kemudahan pinjaman menerusi institusi kewangannya sendiri iaitu Mutiara Mortgage and Finance.

Katanya lagi, dalam dasar perumahan baharu itu, kerajaan negeri mengambil langkah mewujudkan institusi kewangan sendiri selepas mendapati ramai pembeli gagal mendapatkan pinjaman daripada bank komersial.

"Kita mengambil langkah itu selepas separuh daripada 420 rumah mampu milik yang dibina di Banjaran Serapi di Kuching gagal dijual selepas pembeli gagal mendapatkan pinjaman. Sebab itu, kerajaan negeri meluluskan dana awal berjumlah RM50 juta kepada institusi kewangan itu untuk membiayai pinjaman pembeli rumah," katanya.

Berita Harian X