Rabu, 15 Februari 2017 | 5:09pm
YANG Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Rahim Ramli menunjukkan lambang palsu yang didakwa digunakan oleh seorang kerabat pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Ibrahim Bukit Timbalan, Johor Bahru. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Kurniaan darjah kebesaran Johor kuasa mutlak Sultan

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

mohdfahmi@bh.com.my


YANG Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Istana Johor mengesan ada cubaan pihak tertentu mencadangkan pengurniaan bintang dan darjah kebesaran untuk gelaran Datuk secara tidak sah menerusi satu surat bertarikh 8 Februari.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, berkata surat berkenaan ditandatangani oleh seorang kerabat dari Perak yang mencadang serta mencalonkan satu nama bagi menerima gelaran Datuk.

Katanya, Jumaah Majlis Diraja Johor tidak pernah mengeluarkan atau menerima sebarang cadangan atau pencalonan bagi perkara itu kerana mengikut Undang-undang Tubuh negeri, kurniaan darjah adalah kuasa mutlak raja yang memerintah.

"Lantikan darjah kebesaran di Johor tidak pernah melakui 'orang tengah' atau pihak tertentu dan boleh merujuk kepada Istana Johor atau Jumaah Majlis Diraja bagi mendapatkan sebarang pengesahan.

"Apabila Sultan Johor berkenan dan nama penerima sudah menjalani proses tapisan, Jumaah Majlis Diraja Johor akan memaklumkan penama berkenaan secara bertulis satu atau dua hari sebelum diterima, " katanya pada sidang media khas di pejabatnya di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ramli berkata, kerajaan Johor akan mewujudkan Rang Undang-undang Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) negeri Johor 2017 yang akan dibentang pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada bulan depan.

Berita Harian X