Rabu, 15 Februari 2017 | 12:52pm
OTHMAN (kanak) mengaminkan doa di pusara bapanya bersama anaknya. - Foto Rosli Ilham

Jenazah bapa Pengarang Eksekutif HM selamat dikebumi


PENGARANG Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Harian Metro, Othman Mamat menabur bunga di pusara ayahnya, Mamat Abdulah di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahaya, Dungun. - Foto Rosli Ilham

DUNGUN: Jenazah bapa kepada Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Harian Metro, Othman Mamat, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahaya di sini, jam 11 pagi tadi.

Jenazah Mamat Abdulah, 94, dimandi dan dikafankan di rumahnya di Jalan Nibong Stesen di sini, sebelum dibawa ke Surau Ustaz Omar, untuk disembahyangkan.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, mengimamkan solat jenazah sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan.

Kira-kira 200 orang ahli keluarga dan rakan menghadiri majlis pengebumian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik, membacakan talkin.

Allahyarham Mamat yang tinggal bersama anak perempuannya, Ramlah Mamat, 62, meninggal dunia kira-kira jam 6 petang semalam di kediamannya di Jalan Nibong Stesen di sini, kerana sakit tua.

Anak sulungnya, Ali Mamat yang juga bekas Pengarang Berita di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) meninggal dunia, kira-kira dua tahun lalu.

Allahyarham yang kematian isteri, Senik Embong pada 1981, meninggalkan 11 anak serta lebih 30 cucu dan cicit.

29 dibaca
Berita Harian X