Rabu, 15 Februari 2017 | 12:05am

Kenali tokoh tanah air, usah meneka - Kay Kim

KUALA LUMPUR: Seorang sejarawan negara berpendapat sejarah negara hari ini terlalu banyak dipolitikkan sehinggakan hanya pejuang politik dikenali masyarakat sedangkan ramai tokoh yang membantu dalam pembangunan Malaysia 'tenggelam' begitu saja.

Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, berkata sejak 1930-an sudah ramai orang Melayu yang berjaya sebagai patologis dan pentadbir tetapi tidak dikenali berikutan sikap melihat hanya politik yang penting dalam memahami sejarah.

Katanya, masyarakat perlu mengenal tokoh seperti Datuk Hamzah Abdullah Melayu yang pertama dilantik sebagai pegawai Malayan Civil Service (MCS) pada 1920-an; Abdul Rahman Andak tokoh dari Johor yang terbabit dalam penggubalan undang-undang Johor dan Dr Mustafa Osman, tokoh dari Kedah yang menjadi patologis Melayu pertama.

"Sejarah sangat penting dalam memahami pembangunan sesebuah negara seperti Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang bangsa tetapi sejarah bukan subjek kegemaran pada masa kini, sebaliknya ramai kalangan rakyat yang melihat sejarah adalah politik semata-mata.

"Pandangan sebegitu tidak benar. Ada ramai orang di negara ini yang berjaya dalam pelbagai bidang tetapi tidak diketahui orang kerana orientasi sejarah kita hanya menekankan pada politik," katanya kepada BH Plus.

PROF Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim. - Foto fail NSTP/Mahzir Mat Isa

Kay Kim berkata, polemik siapa tokoh sebenar yang membuka Kuala Lumpur sama ada Raja Abdullah atau Yap Ah Loy tidak akan menemui penyelesaian sekiranya pertikaian itu hanya terhad kepada dua pilihan berkenaan.

Katanya, kedua-dua pandangan itu salah kerana Kuala Lumpur sebenarnya dibuka oleh Sutan Puasa, lelaki berketurunan Mandailing dari Sumatera.

Pandangan daripada kelompok pertama menyebut Raja Abdullah yang berketurunan Bugis sebagai tokoh bertanggungjawab membuka Kuala Lumpur manakala versi kelompok kedua beranggapan ia dibuka oleh Yah Ah Loy, iaitu kapitan Cina ketiga.

"Sutan Puasa berasal daripada keturunan baik-baik dari Sumatera yang membuat penempatan di pertemuan di antara Sungai Lumpur dan Sungai Kelang. Malah, beliau juga menjemput dua kapitan Cina sebelum Yap Ah Loy, iaitu Hew Siew dan Liu Ngim Kong untuk sama-sama memajukan wilayah baharu berkenaan.

"Secara logiknya, bagaimana Ah Loy boleh membuka kawasan itu kalau beliau adalah kapitan Cina ketiga?" katanya kepada Sastera & Budaya di Universiti Malaya (UM) di sini.

YAP Ah Loy (kiri) dan Sutan Puasa atau nama sebenarnya ialah Sutan Naposo. - Foto ihsan daulah rakyat

Sebaliknya, tegas Kay Kim, semua kekeliruan itu berlaku kerana sikap malas untuk melakukan penyelidikan yang terperinci dan hanya mengambil jalan mudah dengan meneka.

"Satu lagi isu yang penting, mengapa kawasan ini dinamakan Kuala Lumpur? Kalau dilihat di negara ini, banyak tempat yang dinamakan 'kuala'.

"Ini kerana dalam kalangan orang Melayu penempatan mereka berdekatan sungai seperti Kuala Pilah kerana wujudnya Sungai Pilah dan Kuala Kangsar disebabkan adanya Sungai Kangsar.

"Kuala Lumpur sebenarnya memiliki Sungai Lumpur sebelum ia ditukar nama kepada Sungai Gombak pada 1875 atas sebab yang tidak dapat dipastikan," katanya.

MAKAM Sutan Puasa di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. - Foto ihsan daulahrakyat

INFO
Sutan Puasa

  • Nama sebenarnya ialah Sutan Naposo
  • Berketurunan Mandailing
  • Melarikan diri dari kampung kelahirannya di Tobang, Sumatera berikutan Perang Padri 1803-1838.
  • Menjemput Kapitan Cina Kuala Lumpur pertama, Hew Siew untuk datang ke Kuala Lumpur bagi membangunkannya secara bersama.

KUALA Lumpur sekarang.

Berita Harian X