Rabu, 15 Februari 2017 | 12:01am

Ben Amir mengaku intim dengan gadis Perak

KUALA LUMPUR: Populariti jejaka ini melonjak selepas membintangi drama rantaian, Suri Hati Mr Pilot (SHMP) yang mencetuskan fenomena, akhir tahun lalu.

Biarpun memegang watak antagonis, karakter Dr Muslim lakonan bakat baharu, Ben Amir pantas memikat hati penonton hingga namanya menjadi sebutan peminat.

Dengan bakat dan penampilan fizikal yang menarik, tidak keterlaluan andai dikatakan, Ben atau nama penuhnya, Muhammad Amir Sabaruddin adalah antara hero pelapis yang bakal memeriahkan industri lakonan.

Seiring populariti yang dikecapi ketika ini, sudah tentu ramai yang ingin tahu cerita peribadi jejaka ini selain kisah kerjayanya yang semakin memuncak.

Walaupun tiada sebarang pengakuan daripada Ben, desas-desus jejaka ini sedang menjalin hubungan dengan kerabat yang dikenali sebagai Raja Shazreen Petra kini menjadi bualan di laman sosial.

Bertemu dengannya, soalan itulah yang ditanyakan. Sebaik nama wanita terbabit disebut, Ben menunjukkan reaksi terkejut.


PELAKON, Ben Amir atau nama penuhnya, Muhammad Amir Sabaruddin. - Foto Munira Abdul Ghani

"Mengenai hubungan saya dengan Shazreen saya tak berani nak cakap apa-apa. Saya dengannya hanya berkawan," demikian penjelasan Ben apabila ditanya status hubungannya dengan gadis berkenaan.

Biarpun cuba berselindung, akhirnya, Ben mengaku dia sedang berkawan dengan gadis berasal dari Perak.

"Saya sudah setahun berkawan dengannya. Dia sangat memahami dan tidak cemburu. Soal rupa saya tak kisah kerana yang penting bagi saya, dia tidak cemburu dan memahami kerja saya.

"Dia bukan orang industri dan saya memang tak nak berkawan dengan orang industri. Ini kerana ia boleh mengganggu fokus saya," kata jejaka berusia 27 tahun ini.

Ditanya apakah dia meletakkan sasaran usia untuk mendirikan rumah tangga, finalis Pertandingan Hero Remaja 2011/2012 ini mengharapkan jodohnya tiba dalam tempoh selewat-lewatnya tiga tahun lagi.

"Umur saya tahun ini 27 tahun. Kalau boleh, saya nak kahwin sebelum usia 30 tahun. Namun, bergantung kepada karier saya, kalau kerjaya saya mengizinkan, Insya-Allah saya akan kahwin terus. Bukan masanya lagi untuk saya berseronok.

"Kalau ada yang berkenan, kahwin saja," katanya.


BEN dikatakan antara hero pelapis yang bakal memeriahkan industri lakonan. - Foto Munira Abdul Ghani

Pernah tolak watak hero

Beralih kepada kerjaya lakonannya yang semakin bersinar, Ben mengakui drama SHMP membuatkan namanya semakin dikenali terutama dalam kalangan penerbit.

Disebabkan itu, tawaran lakonan mula menghujani dirinya. Namun, biarpun menjadi pilihan penerbit, itu tidak bermakna Ben mudah berkompromi dengan soal kualiti.

"Ada tawaran yang terpaksa saya tolak walaupun menawarkan watak hero. Saya hanya pilih watak yang mampu memberi nilai tambah terhadap kredibiliti sebagai pelakon.

"Selain itu, saya tengok dengan siapa saya akan berlakon. Sejujurnya, saya lebih suka bekerja dengan mereka yang ada pengalaman," katanya.

Ini kerana, kata Ben, dia mahu menimba ilmu sambil berlakon.

"Namun, tidak bermakna saya tak boleh bekerja dengan orang baharu. Dengan mereka, ada juga ilmu yang boleh saya pelajari. Cuma kalau dengan orang lama, penghayatan mereka lebih bagus," katanya yang sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Air Mata Di Bumi Matador.

Drama yang menjalani penggambaran di Sepanyol itu menyaksikan Ben berganding dengan bakat baru, Putri Aishah.


POPULARITI Ben melonjak selepas membintangi drama rantaian, Suri Hati Mr Pilot. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Kongsi tip sihat

Bercerita mengenai produk minuman kesihatan gO-S atau Go Sihat yang diusahakan bersama rakan kongsi yang juga kenalannya, Datin Farrah Razali, Ben memberitahu, ia adalah salah satu cara untuk dia mempromosikan gaya hidup sihat.

"Ketika saya menyertai pertandingan Hero Remaja, berat badan saya pernah mencecah angka lebih 90 kilogram. Situasi itu menyebabkan saya sukar bergerak dan cepat penat. Saya tak suka dengan keadaan itu.

"Pertemuan dengan sahabat lama saya, Datin Farrah yang kelihatan langsing walaupun baru melahirkan cahaya mata membuatkan saya tertarik untuk mengetahui rahsianya," katanya.

Ben berkata, selepas dimaklumkan kebaikan produk berkenaan, dia pantas mencubanya.

"Bukan saja mahu menjadi duta tetapi saya mahu menjadi rakan niaga. Cuma tugas saya lebih kepada bahagian pemasaran, penjenamaan dan publisiti. Ini sesuai dengan kerjaya saya sebagai pelakon yang memberikan kelebihan untuk melakukan tugas itu," katanya yang mengaku mengamalkan minuman kesihatan selama dua bulan sebelum mendapat keputusan positif.

Maklumat mengenai produk minuman kesihatan gO-S atau Go Sihat boleh didapati di laman web gos.farbelrich.com atau laman Instagram @go_s_hq.


BEN mengharapkan jodohnya tiba dalam tempoh selewat-lewatnya tiga tahun lagi. - Foto Munira Abdul Ghani

Biodata

Nama Penuh: Muhammad Amir Sabaruddin

Nama Komersial: Ben Amir

Tarikh Lahir: 13 Mei 1990

Umur: 26 tahun

Asal: Kuala Lumpur

Pendidikan Tertinggi: Diploma Pengajian Perniagaan

Kerjaya: Model dan Pelakon

Drama: Fira Ayuni, Merah Bukan Jambu, Asam Pedas Untuk Dia, Playboy Itu Suamiku, Dunia Generasi Baru, Menantu Ting-Tong, Bagaikan Kelip-Kelip, Suri Hati Mr Pilot dan Mariam Alisa.

309 dibaca
Berita Harian X