Selasa, 14 Februari 2017 | 11:26pm

3 beranak sedang bercuti maut kemalangan


KEADAAN kereta Proton Wira yang dinaiki lima beranak dari Sabah yang dirempuh pacuan empat roda, Toyota Hilux hingga menyebabkan tiga maut di persimpangan empat Charok Nau, Jalan Baru Baling - Kupang, hari ini. - Foto ihsan Polis

BALING: Tiga beranak termasuk seorang pesara polis maut selepas kenderaan dinaiki mereka dirempuh pacuan empat roda dalam satu kejadian di persimpangan empat Charok Nau, Jalan Baru Baling-Kupang di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 3.40 petang itu, mangsa yang meninggal dunia menaiki kereta jenis Proton Wira ialah pesara polis, Asmad Mukammad, 62; isterinya, Ninik Abd Lajjah, 54, dan anak perempuan mereka, Nuriyati, 35, kesemuanya dari Sabah.

Mangsa yang cedera termasuk dua anak mangsa, pemandu kereta Proton Wira, Azmi, 30, dan penumpang belakang sebelah kanan, Noraini, 27, serta pemandu Toyota Hilux, Mohamad Ridzuan Mohamad, 40, dari Taman Sri Landak, Kupang, dekat sini.

Difahamkan, kesemua mangsa yang baru bercuti dua hari di Baling untuk menziarah ahli keluarga mereka, Konstabel Asri Samad yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof, berkata siasatan awal mendapati kereta Proton Wira dipandu Azmi yang mahu membelok ke kanan untuk ke Kupang, dilanggar pacuan empat roda.

"Akibat perlanggaran itu, semua mangsa yang duduk di bahagian kiri Proton Wira maut manakala pemandu dan penumpang serta pemandu pacuan empat roda hanya cedera ringan.

"Dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapa mereka meninggal ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Baling," katanya yang dihubungi di sini, hari ini.

Shariffuddin berkata, jenazah mangsa akan dihantar ke Kampung Bum Bum, Semporna, Sabah, esok untuk dikebumikan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara cuai hingga menyebabkan kematian," katanya.

24 dibaca
Berita Harian X