Selasa, 14 Februari 2017 | 3:57pm

Bakal Ketua Menteri Tamil Nadu dipenjara


VK Sasikala. - Foto AFP

NEW DELHI: Bakal Ketua Menteri Tamil Nadu, VK Sasikala dijatuhkan hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Agung India hari ini, selepas didapati atas tuduhan rasuah.

Berikutan itu, bekas penjual pita rakaman video itu tidak berpeluang memegang jawatan yang kini kosong selepas penyandangnya, Jayalalithaa Jayaram meninggal dunia pada Disember, tahun lalu.

Dalam perbicaraan kes yang turut membabitkan mendiang Jayalalithaa itu, Sasikala didapati bersalah memiliki aset yang tidak setimpal dengan pendapatannya.

Beliau yang tidak hadir di mahkamah ketika perbicaraan, diperintahkan segera menyerah diri kepada pihak polis bagi membolehkan hukuman ke atasnya dijalankan.

Turut dijatuhkan hukuman sama ialah anak saudara lelaki dan perempuan beliau yang sebelum ini dibebaskan daripada tuduhan oleh Mahkamah Rendah.

Sasikala, dinamakan sebagai pengganti Jayalalithaa oleh parti All India Anna Dravida Munnetra Kazhagam (AIADMK) dan dijangka mengangkat sumpah hujung minggu ini.

AFP

Berita Harian X