Selasa, 14 Februari 2017 | 3:34pm

MT UMNO putuskan kedudukan Jamal

MENTERI Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tiga dari kiri) bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (dua dari kanan) menyampaikan geran hak milik kepada peneroka di Majlis penyampaian geran hak milik Felcra Sungai Jebong Mukim Kahang di Rumah Komuniti Parlimen Sembrong, Kluang. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajudin

KLUANG: Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan memutuskan kedudukan Datuk Seri Jamal Md Yunos sebagai Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, berdasarkan pendirian diambil UMNO Selangor.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat MT akan datang sebelum keputusannya diumumkan.

Katanya, apa juga ketetapan serta keputusan UMNO Selangor perlu dibawa dan dibincangkan dalam MT terlebih dahulu.

"Kita percaya dengan kebijaksanaan Badan Perhubungan UMNO Selangor dan keputusan sama ada peletakan jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar diterima atau ditolak terserah kepada pendirian mereka.

"Apa jua keputusan yang akan diambil nanti akan mengambil kira pandangan UMNO Selangor dan akar umbinya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian hak milik FELCRA Sungai Jebong, Mukim Kahang kepada 333 pemohon di Rumah Komuniti Parlimen Sembrong, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Semalam, UMNO Selangor dilaporkan sebulat suara menolak peletakan jawatan Jamal sebagai Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar.

Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, dilaporkan berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Perhubungan UMNO negeri, petang semalam, selepas menilai sumbangan Jamal terhadap parti, terutamanya ketika membantu Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, pada tahun lalu.

Berita Harian X