Selasa, 14 Februari 2017 | 12:25pm

5 kru bot hanyut lapan jam


PENGARAH Daerah Maritim Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz (kiri) menunjukkan lokasi operasi penyelamatan krew dan pemancing bot jenis katamaran yang mengalami kerosakan enjin utama di perairan Pulau Sulug di Pejabat Daerah Maritim Kota Kinabalu, Kolombong, Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin⁠⁠

KOTA KINABALU: Lima kru bot termasuk seorang wanita menempuh detik cemas selepas bot katamaran dinaiki rosak sebelum hanyut kira-kira lapan jam akibat kerosakan enjin di perairan 11 batu nautika barat daya Pulau Sulug dekat sini, semalam.

Bot dinaiki mangsa warga tempatan berusia antara 24 hingga 59 tahun itu mengalami kerosakan kira-kira jam 11 pagi sebelum diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Kota Kinabalu jam 7.10 malam tadi.

Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz, berkata mangsa diselamatkan oleh Kapal Maritim (KM) Memmon sebelum tiba di jeti Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini, jam 10 malam tadi.

Katanya, bot katamaran bernombor pendaftaran SJN 01309 X sebelum itu membawa sembilan pemancing tempatan dalam perjalanan pulang ke jeti Sutera Harbour Resort dari perairan Pulau Sulug.

"Sembilan pemancing itu lebih awal diselamatkan oleh dua bot dari Sutera Harbour Resort kira-kira jam 3 petang selepas mengalami kerosakan enjin.

"Bagaimanapun, lima lagi kru bot termasuk seorang wanita tidak menaiki dua bot berkenaan kerana mahu membaiki kerosakan bot katamaran, namun tidak berjaya.

"Kita dimaklumkan mengenai kejadian pada jam 4 petang semalam sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan," katanya kepada media di sini, hari ini.

Berita Harian X