Selasa, 14 Februari 2017 | 8:57am

Tiga maut, tiga cedera kediaman terbakar


TIGA termasuk dua kanak-kanak perempuan maut manakala tiga lagi cedera selepas sebuah rumah teres di Jalan Wangsa 2/4, Taman Wangsa Permai, Kepong, di sini terbakar, malam tadi.

KUALA LUMPUR: Tiga termasuk dua kanak-kanak perempuan maut manakala tiga lagi cedera selepas sebuah rumah teres di Jalan Wangsa 2/4, Taman Wangsa Permai, Kepong, di sini terbakar, malam tadi.

Dalam kebakaran kira-kira jam 11 malam itu, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Ng Zi Xuan, 10, Lam Yan Yi, tujuh, serta seorang wanita warga asing dikenali sebagai Sok Srey berusia 29 tahun.

Tiga mangsa yang cedera akibat melecur pula dikenal pasti sebagai Lam Chooi Lai, 36, Shamsul Ng Abdullah, 58, dan Wong Ah Yin, 81 tahun.

Mereka dikatakan berjaya menyelamatkan diri dengan turun melalui balkoni di tingkat atas dengan dibantu orang ramai.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Mohd Sani Harul, berkata dua pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh dan Selayang dikejarkan ke lokasi sejurus menerima laporan kebakaran pada jam 11.20 malam.

"Apabila sampai di lokasi, api sedang marak membakar di bahagian tingkat bawah rumah teres berkenaan dan dimaklumkan ada mangsa terperangkap di tingkat atas.

"Anggota kita naik ke tingkat atas melalui balkoni rumah jiran mangsa dan memecah masuk melalui bilik tidur utama dan menemui tiga mangsa yang meninggal dunia di ruang tamu di tingkat atas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, ketiga-tiga mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Selayang menggunakan ambulans dan jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS), manakala mangsa yang maut dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Beliau berkata, kebakaran itu menyebabkan 80 peratus tingkat bawah rumah berkenaan rosak dan buat masa ini pihak bomba masih menyiasat punca sebenar kebakaran.

 

 

 

Berita Harian X