Selasa, 14 Februari 2017 | 12:01am

Tanggapan negatif jejas karier nyanyian Sarah Fazny

BELUMPUN namanya mendaki carta populariti, tiba-tiba bertebaran spekulasi mengatakan bakat baharu kelahiran program realiti Mentor Legend, Sarah Fazny, sebagai artis bermasalah. Kononnya, perangai Sarah yang tidak mendengar kata dan kerap menghilangkan diri menyebabkan orang sekelilingnya pening kepala dengan sikapnya.

Barangkali, sikapnya yang seperti 'acuh tidak acuh' itu turut menjadi punca mengapa single sulungnya, 'Tak Mungkin', kurang mendapat perhatian. Sepatutnya, sebagai penyanyi yang baru berjinak-jinak dalam industri, kenalah sentiasa menjaga tingkah laku supaya sentiasa disenangi ramai pihak.

Enggan terus membiarkan perkara itu menjadi tanda tanya, BH berusaha mendapatkan kenyataan bekas protege kepada Amy Search ini. Ibarat bulan jatuh ke riba, kehadirannya pada Majlis Tayangan Duo Star Final yang berlangsung di Petaling Jaya baru-baru ini, turut meleraikan persoalan kebenaran tuduhan dilemparkan terhadapnya sebelum ini.

Sambil mengakui terkejut dengan dakwaan itu, Sarah menafikan dia seorang artis bermasalah.

"Sarah pelik juga apabila ada yang mengatakan saya artis bermasalah dan sering menyusahkan pihak pengurusan. Setahu Sarah, apa saja yang dicadangkan, Sarah terima saja tanpa sebarang bantahan sehingga mereka sendiri naik hairan. Mereka pelik juga kerana Sarah tak pernah berkata tidak.


SARAH mengharapkan dapat bekerja dalam suasana yang lebih baik dan menggembirakan semua pihak. - Foto Mahzir Mat Isa

"Perkara ini memang mengejutkan Sarah. Sejujurnya, ia rasanya salah faham semata-mata. Setiap orang mungkin ada 'mood' masing-masing dan mungkin ketika itu mereka tak berada dalam keadaan baik. Apabila ada berlaku sesuatu hal, mereka jadi cepat sentap.

"Setakat ini, maklum balas yang Sarah terima semuanya baik-baik saja. Mungkin ia berkat didikan ibu bapa Sarah sendiri," kata penyanyi berusia 22 tahun ini.

Menyedari industri seni negara tidak sebesar mana, Sarah berharap isu itu tidak diperbesarkan dan dapat ditamatkan secepat mungkin.

"Sarah tidak menafikan, orang luar memang mudah menilai. Namun tidak mengapa, Sarah sangat memahami. Berikutan industri kita ini kecil dan pusing-pusing, akan jumpa orang yang sama, jadi Sarah cuba selesaikan segala-galanya dengan meminta maaf kepada semua yang pernah bekerja dengan Sarah dan yang masih bekerja dengan Sarah.

"Harapan Sarah supaya mereka tidak berkecil hati atau menyimpan dendam. Biarlah kita dapat bekerja dalam suasana yang lebih baik dan menggembirakan semua pihak," ujarnya.

Menerusi program Duo Star yang sudah pun berakhir baru-baru ini, Sarah bersama pasangannya, Ronnie Hussein, menjadi pasangan ketiga tersingkir daripada rancangan itu.


SARAH bersama Ronnie Husin (kiri). - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

SARAH menafikan dia seorang artis bermasalah.

Walaupun dilihat sebagai antara peserta berpotensi dan pernah mendapat pujian juri, penyingkiran itu sangat mengejutkan banyak pihak.

Dek kecundang di pertengahan jalan, ada suara nakal yang menyalahkan penyingkiran itu berpunca daripada Sarah sendiri yang didakwa tidak konsisten dalam membuat persembahan, berbanding Ronnie.

"Sebelum orang bercakap sedemikian, Sarah sendiri ada bertanyakan perkara itu terlebih dulu kepada abang Ronnie, adakah dia takut kalah kerana memilih saya sebagai pasangan duet? Maklum sajalah, jika nak diukur dari segi populariti, siapalah saya berbanding dirinya? Saya bukan sesiapa pun. Sarah juga tiada pengikut yang ramai di laman sosial.

"Tetapi abang Ronnie sendiri yang memberikan keyakinan, Sarah boleh jadi pasangan duetnya yang serasi. Malah, dia juga memuji cara nyanyian Sarah kerana kami pernah beraksi bersama dalam persembahan, memandangkan masing-masing bernaung di bawah label sama. Cuma, pada minggu pertama dan kedua saja kami sukar mencari keserasian. Selepas itu, kami sudah mendapat rentaknya.

"Kami juga sudah berusaha bersungguh-sungguh dan Datuk Hattan selaku juri profesional turut memberi pujian terhadap persembahan saya. Jadi bagi saya, semua ini berbalik kepada soal rezeki," katanya.

Mengenai singlenya yang kurang mendapat sambutan, Sarah tidak mahu menyalahkan sesiapa berhubung perkara itu.

"Lagu itu cukup ramuannya dan ia juga adalah lagu berentak balada yang kuat. Mungkin kalau ia dinyanyikan penyanyi yang sudah ada nama, lagu terbabit boleh pergi jauh. Nama Sarah belum cukup kuat untuk menyampaikan lagu itu. Harapan Sarah, single baharu iaitu Urusan Hati dapat diterima ramai selepas ini.

"Selain berentak rancak dan catchy, ia turut dijadikan runut bunyi drama bersiri, Urusan Hati Cik Drama Queen. Sarah mengharapkan tuah lagu itu membuatkan kehadiran Sarah dalam industri seni disedari, sekali gus menjadikan 2017 sebagai tahun gemilang buat diri ini," katanya penuh pengharapan.


BAKAT baharu kelahiran program realiti Mentor Legend, Sarah Fazny.

INFO

  • Nama: Maishara Fazny Mahadzir
  • Nama komersial: Sarah Fazny
  • Tarikh Lahir: 15 Disember 2014
  • Asal: Johor Bahru dan menetap di Kuala Lumpur
  • Status: Bujang
  • Program realiti: Mentor Legend, Duo Star
  • Single: Tak Mungkin, Urusan Hati
78 dibaca
Berita Harian X