Isnin, 13 Februari 2017 | 8:05pm

Grab beli syarikat Indonesia, Kudo

JAKARTA: Syarikat teknologi pengangkutan awam, Grab mungkin mengumumkan rancangan pembelian syarikat permulaan pembayaran dalam talian Indonesia, Kudo dalam satu urus niaga bernilai AS$100 juta (RM444.85 juta), kata sumber yang rapat dengan perkara itu.

Langkah itu dilihat akan membantu syarikat pengangkutan awam Asia Tenggara itu menyediakan perkhidmatan kepada lebih ramai pengguna.

Urus niaga itu akan dibiayai melalui dana AS$700 juta (RM3.11 bilion) yang dijanjikan untuk dilabur oleh Grab di Indonesia, yang juga pasaran terbesarnya dalam tempoh empat tahun akan datang, kata individu itu yang enggan dikenali kerana maklumat berkenaan tidak boleh didedahkan kepada umum.

Ditubuhkan pada 2014, Kudo memudah cara transaksi dalam talian kepada pelanggan di Indonesia, menurut laman sesawang syarikat itu.

Ia menyasarkan pelanggan yang tidak mempunyai akaun bank dan tinggal di bandar atau pekan kecil, sekali gus membantu mereka membuat pembelian dalam talian melalui ejen.

Urus niaga itu mungkin diumumkan seawal minggu ini dan Grab, pesaing terbesar firma Amerika Syarikat (AS), Uber Technologies Inc di Asia Tenggara, berharap ia akan membantunya berkembang dalam sektor pembayaran dalam talian, kata sumber berkenaan.

Grab dan Kudo enggan mengeluarkan kenyataan.

Rancangan pengembangan Grab dijangka menghangatkan lagi persaingan antara syarikat pengangkutan awam di Indonesia.

Pesaingnya di negara seramai 250 juta penduduk itu termasuklah Uber dan syarikat tempatan, Go-Jek.

Grab tahun lalu bekerjasama dengan konglomerat Indonesia, Lippo Group untuk melaksanakan satu platform pembayaran mudah alih.

Di bawah kerjasama itu, pelanggan boleh menggunakan aplikasi Grab untuk membuat bayaran di cawangan runcit Lippo di seluruh negara.

Grab yang ditubuhkan bersama oleh graduan Harvard Business School, Anthony Tan, menjana dana sebanyak AS$750 juta (RM3.33 bilion) dalam satu pusingan pembiayaan September lalu, sebulan selepas pesaingnya di Indonesia, Go-Jek memperoleh dana AS$550 juta (RM2.45 bilion) daripada pelabur seperti KKR dan Warburg Pincus. - REUTERS

Berita Harian X