Isnin, 13 Februari 2017 | 12:44pm

PTPTN umum dividen 4 peratus


PENGERUSI PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (kiri) bersama Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff mengumumkan dividen 4 peratus di Majlis Pengumuman Dividen 2016 Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i Plus dan SSPN-i). - Foto Mohd Yusni Ariffin

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan dividen sebanyak empat peratus untuk dua Skim Simpanan Pendidikan Nasional 2016 SSPN-i dan SSPN-i Plus.

Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata pemberian dividen itu adalah kekal sebagaimana tahun lalu dan ia diberikan berdasarkan pulangan bersih pelaburan yang dibuat atas deposit yang diterima PTPTN.

"Dividen ini akan diagihkan ke akaun pendeposit dalam kadar segera pada bulan ini juga.

"Pemberian ini membabitkan anggaran peruntukan sebanyak RM76.74 juta dan akan memberi manfaat kepada lebih 2.7 juta pendeposit SSPN-i dan SSPN-i Plus.

"Sehingga 2015, PTPTN telah mengeluarkan sebanyak RM212.6 juta bagi tujuan pengagihan dividen kepada pendeposit," katanya pada Majlis Pengumuman Dividen 2016 Skim Simpanan Pendidikan Nasional di Menara PTPTN, hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff.Dr Shamsul Anuar berkata, sejak dilancarkan pada 2004 sehingga 31 Disember 2016, pembukaan akaun SSPN-i adalah sebanyak 2.7 juta akaun dengan jumlah deposit sebanyak lebih RM2.6 bilion.

Bagi 2017, PTPTN mensasarkan kutipan deposit sebanyak RM550 juta dengan penambahan pembukaan akaun baharu sebanyak 350,000.

"Dengan sasaran itu, kita juga berharap agar dapat memberi dividen yang lebih kepada pendeposit di tahun akan datang," katanya.

Berita Harian X