Isnin, 22 Disember 2014 | 8:43pm

PT3 lebih mencabar berbanding PMR - Pengetua

GEORGETOWN: Bilangan pelajar yang mendapat semua A dalam Ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) kurang berbanding peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kerana soalan PT3 amat mencabar minda, menurut seorang pengetua.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul, Noorzela Abu Bakar, berkata selain cabaran dalam menjawab soalan yang bukan sahaja berbentuk lisan tetapi kebolehan kemahiran berfikir aras tinggi, masa persiapan yang singkat turut menjadi antara faktornya.

Katanya, walaupun hanya sejumlah enam pelajar daripada 183 pelajar sekolahnya berjaya mencapai keputusan cemerlang semua A berbanding PMR tahun lepas, namun beliau tetapi berpuas hati dengan semangat pelajar yang tidak berputus asa walaupun masa persiapan yang diberikan singkat.

"Bilangan pelajar dapat semua A kurang kerana PT3 adalah satu format baharu dalam menilai pelajar dan 40 peratus daripada soalan adalah menguji kemahiran berfikir," kata Noorzela kepada pemberita di sini hari ini.

Ujian PT3 bagi menggantikan PMR bermula 1 Julai lepas adalah sebahagian langkah penambahbaikan yang dilakukan terhadap Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Noorzela berkata, PT3 adalah satu pelaksanaan yang baik dalam melahirkan generasi muda yang berkemahiran berfikir aras tertinggi serta mendorong mereka berfikir di luar kotak.

Y Edwin yang mendapat 9A, mengakui PT3 lebih mencabar berbanding PMR kerana bukan sahaja menjawab soalan tetapi menguji kemahiran berucap serta soalan yang lebih berbentuk subjektif.

"Ujian bertutur diadakan buat pertama kali untuk pelajar Tingkatan 3 dan juga soalan yang diberikan amat mencabar dan menggalakkan kemahiran berfikir aras tertinggi," katanya yang bercita-cita menjadi jurutera.

Fiennee Loo yang mendapat 4A dan 5B berkata walaupun gagal mendapat semua A tetapi beliau berpuas hati dengan pencapaian itu.

"Kita hanya diberi tiga bulan untuk bersiap sedia dan cabaran ujian ini adalah format yang berlainan dan soalan berbentuk subjektif seperti tahap universiti," katanya.

Katanya, walaupun mencabar tetapi PT3 adalah langkah positif untuk memastikan golongan belia mampu berfikiran tinggi dan kreatif tetapi ia harus dimulakan dari Tingkatan 1 supaya pelajar lebih bersedia.

- BERNAMA

Berita Harian X