Ahad, 12 Februari 2017 | 4:13pm

Tukang masak, pekerja restoran didakwa miliki senjata api, peluru

ALOR SETAR: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini, atas dua tuduhan memiliki pistol dan peluru pada 7 Januari lalu.

Tertuduh, Tang Ah Chiew, 42, dan rakannya, Soh Chin Seong, 47, yang didakwa di mahkamah berasingan, mengaku tidak bersalah atas tuduhan dibacakan dan memohon untuk dibicarakan.

Ah Chiew, pekerja restoran dituduh memiliki sepucuk pistol semi auto jenis colt .45 milimeter (mm) bernombor siri 919240 tanpa kebenaran sah bersama satu kotak peluru Bullet Master Co Ltd dan 53 peluru hidup saiz .45 mm.

Chin Seong, tukang masak menghadapi dua tuduhan memiliki sepucuk pistol jenis Llama Trade Mask bernombor siri 471697 tanpa kebenaran sah dan 24 peluru hidup saiz .22mm.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu pada jam 5.30 petang 7 Januari lalu, di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Alor Setar Selatan.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api tanpa lesen sah, manakala Seksyen 8(a) Akta Senjata api 1960 kerana memiliki peluru.

Hakim Zulhazmi Abdullah dan Najwa Che Mat mendengar kes berkenaan manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ana Rozana Mohd Nor dan Rehab Abdul Shukur.

Mahkamah menetapkan 12 Mac ini sebutan semula kes.

Berita Harian X