Ahad, 12 Februari 2017 | 12:27pm

Pengagihan organ ikut kriteria klinikal


DATUK Dr. Noor Hisham Abdullah. - Foto Asyraf Hamzah

PUTRAJAYA: Sistem pengagihan organ dari penderma yang meninggal dunia kepada penerima dibuat berdasarkan kriteria klinikal, termasuk tempoh pesakit menjalani dialisis dan keserasian organ itu dengan sistem badan penerima.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pengagihan organ tidak berdasarkan kepada bangsa, agama, latar belakang atau pun status dalam masyarakat, justeru sememangnya terdapat kemungkinan organ yang didermakan seseorang bukan Islam diberikan kepada seseorang beragama Islam dan sebaliknya, begitu juga dengan pendermaan dan transfusi darah.

"Dari segi hukum pendermaan organ, fatwa sudah pun dikeluarkan seawal 1970 oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharuskan pendermaan organ dalam kalangan masyarakat Islam.

"Ramai juga ahli agama termasuk mufti yang sudah menjelaskan perkara ini dan tidak menjadi suatu halangan jika orang Islam menerima organ dan darah daripada orang bukan Islam, dan juga sebaliknya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas video yang dikeluarkan pihak tertentu mengenai status rakyat bukan beragama Islam yang ingin menderma organ.

Dr Noor Hisham berkata, secara amnya, tahap kesedaran rakyat Malaysia untuk menderma organ semakin meningkat dan ketika ini, lebih 350,000 rakyat Malaysia sudah berikrar sebagai penderma organ.

"Kementerian yakin kesudian rakyat Malaysia ini adalah didorong rasa ikhlas bagi membantu dan menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan.

"Bagi mereka yang sudah lama berikrar boleh memohon penggantian kad yang baharu melalui http://www.fb.com/dermaorgan atau laman Twitter @dermaorgan. Kementerian juga mengalu-alukan lebih ramai lagi rakyat untuk berikrar sebagai penderma organ dengan berdaftar di http://www.dermaorgan.gov.my/," katanya.

Berita Harian X