Isnin, 22 Disember 2014 | 3:46pm

Dana RM100j sebagai insentif pekebun kecil getah

IPOH: Kerajaan menyediakan dana RM100 juta untuk Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi membantu pekebun kecil dan penoreh getah berikutan kejatuhan harga komoditi itu.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata tuntutan menerusi IPG akan dibayar dalam tempoh seminggu selepas tuntutan dibuat.

Beliau berkata, bayaran insentif itu akan bermula Januari ini seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2015.

Bagaimanapun, IPG hanya akan diaktifkan apabila paras harga SMR 20 FOB berada pada RM4.60 sekilogram dan harga getah sekerap RM1.75 sekilogram ke bawah.

"Insentif ini antara cara kerajaan BN (Barisan Nasional) membantu pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara apabila harga getah turun yang menyebabkan pendapatan mereka juga turun. Atas kesedaran itu kerajaan memutuskan melaksanakan IPG mulai Januari ini untuk membantu mereka dalam masa susah.

"Pada masa sama kita juga harap dapat menggalakkan mereka terus menoreh getah kerana kita memerlukan getah untuk keperluan industri dan industri hiliran, jadi objektif insentif ini serampang dua mata," katanya selepas mendengar taklimat persediaan pelaksanaan IPG di Perak di Pejabat Lembaga Getah Malaysia (LGM) Wilayah Utara di sini, hari ini.

Berita Harian X