Ahad, 12 Februari 2017 | 12:04am

Asmidar tercabar nyanyi lagu dangdut

MESKIPUN sering menerima pujian daripada pengkritik program realiti, D Academy Asia musim kedua (DAA2), Asmidar atau nama sebenarnya Norhasmidar Ahmad, 30, terpaksa akur perjuangan sudah berakhir.

Hampir dua bulan mempertaruhkan bakatnya dalam DAA2 di Jakarta, Indonesia, Asmidar hanya mampu bertahan sehingga peringkat Top 12, sekali gus gagal menyaingi peserta terdahulu, Shiha Zikir yang berjaya meraih tempat ketiga.

Penyanyi genre pop dan asli itu mengaku bahawa irama dangdut bukanlah mudah baginya, lebih-lebih lagi terpaksa bersaing dengan peserta tuan rumah yang jauh lebih menyerlah.

"Sejak awal pertandingan lagi, saya akur bakal dibandingkan dengan Shiha yang sudah mengharumkan nama negara ketika DAA musim pertama. Saya sering bertanya kepada diri, mampukah mengulangi pencapaian cemerlang Shiha, atau layak ke pusingan kemuncak - finalis.


ASMIDAR atau nama sebenarnya Norhasmidar Ahmad

"Walaupun gagal saya tidak mahu mengalah, di tambah pula terpaksa bersaing dengan kehebatan 35 peserta lain dari enam negara," katanya kepada BH Plus.

Menurut Asmidar yang terkenal dengan lagu Biar Sampai Ke Bintang, beliau mengambil kesempatan pentas DAA2 sebagai platform terbaik bagi memperkenalkan namanya ke peringkat antarabangsa.

Persediaan tidak mencukupi

Menceritakan kegagalannya membawa lagu berirama dangdut di peringkat Top 12, Asmidar memberitahu tidak mempunyai masa yang mencukupi bagi membuat persediaan.

"Bayangkan setiap tugasan baru perlu dikuasai dalam masa yang amat singkat di mana lagu diberi sehari sebelum pertandingan.

"Program ini mewajibkan peserta menyanyikan lagu dangdut dan yang menariknya kebanyakan lagu yang disenaraikan tidak pernah saya dengar.

"Pasti amat menyukarkan untuk membawanya, namun ia bukanlah satu alasan untuk saya tidak melakukannya," katanya.

Katanya, persaingan musim terbaru DAA2 itu lebih mencabar apabila kesemua peserta dari enam negara mempamerkan persembahan di luar jangkaan.

"Ditambah pula, juri lebih teliti, mementingkan penjiwaan dan penghayatan ketika menyanyi. Ia mencabar kredibiliti saya sebagai penyanyi yang kurang memahami lenggok dangdut asli," katanya.


ASMIDAR tidak menyangka, kehadiran singkatnya di Indonesia dihargai peminat di sana apabila mereka menubuhkan kelab peminat Asmidarlings_indo.

Asmidar membawa cabaran itu bersama lima peserta lain iaitu Syura, Zizi Kirana, Elda Susanti, Roger dan Jiwa. Dia kembali ke tanah air sejak Disember lalu.

Manakala DAA2 berakhir pada 24 Januari lalu dengan menyaksikan penyanyi dangdut kelahiran Pontianak, Kalimantan Barat, Weni Wahyuni dinobatkan sebagai juara.

Dihargai peminat Indonesia

Asmidar juga tidak menyangka, kehadiran singkatnya di Indonesia dihargai peminat di sana apabila mereka menubuhkan kelab peminat, Asmidarlings_indo semata-mata untuk menyokong perjuangannya dalam pertandingan itu.

"Saya bukan nama besar di sana tetapi apabila ada yang menghargai, itu bermakna kehadiran saya disedari. Saya sangat terharu kerana tidak mudah untuk mendapat tempat di negara orang.

"Sepanjang dua bulan menyertai DAA2, saya sempat dua kali menyertai sesi turun menemui peminat," katanya.

Melihat sambutan positif peminat Indonesia, Asmidar berhasrat untuk meneruskan kembaranya di negara jiran berkenaan dengan merakamkan single terbarunya.

"Sekiranya menjadi kenyataan, saya ingin merakamkan lagu yang menonjolkan identiti sebenarnya, meskipun peminat di Indonesia mengenali saya sebagai penyanyi dangdut. Saya juga tidak mahu nanti akan berasa kekok setiap kali muncul di pentas.

"Sebelum mengembangkan saya ke Indonesia, saya mahu mengukuhkan kembali nama dalam industri muzik tempatan. Walaupun sudah sedekad dalam industri muzik, saya amat mengharapkan kehadiran saya lebih meninggalkan impak.

"Tipu jika saya tidak pernah berputus asa kerana peluang yang dinanti masih belum tiba. Walaupun DAA2 tidak disiarkan di negara ini, tetapi ramai yang menyedari kemunculan saya dalam program realiti itu.

"Ia memberikan saya semangat untuk terus mencuba kerana nyanyian adalah periuk nasi saya. Perjalanan seni saya masih jauh dan banyak yang ingin saya dilakukan untuk membuktikan bakat di mata peminat tempatan," katanya.

Berita Harian X