Sabtu, 11 Februari 2017 | 11:13pm

Melaka United tumbang

PEMAIN T-Team, Farhod Tadjiev (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan pasukan pada perlawanan Liga Super menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

MELAKA: Skuad Melaka United (MU) gagal menghadiahkan keceriaan kepada penyokong mereka selepas tewas 2-1 kepada T Team pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi.

Tanpa kelibat ayam tambatan dari Argentina, Sergio Aguero, akibat kecederaan hamstring jelas merencatkan gerakan awal skuad bimbingan jurulatih kelahiran England, Eric Williams.

Malah  T-Team terlebih dahulu membuka jaringan menerusi import dari Mali, Mahamadou Samassa menewaskan penjaga gol Badrulzaman Abd Halim seawal minit ke-5 mengejutkan kesungguhan pemain MU melakukan sentuhan menarik pada babak awal permainan.

Tuan rumah hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-8 menerusi Jeon Woo Young namun berjaya diselamatkan penjaga gol T-Team Muhammad Izudin.

MU kemudian dikejutkan menerusi jaringan kedua The Titans minit ke-15 menerusi Farhod Tadjiev untuk mendahului selesa 2-0 sehingga tamat babak pertama.

Sebelum itu, percubaan Jeon Woo Young sekadar terkena tiang kiri gol T-Team pada minit ke-29 diikuti rembatan kapten kebangsaan Amri Yahyah minit pada ke-38 tersasar ke kanan gawang pelawat manakala rembatan Ilja Spasojevic seminit selepas itu juga gagal membolosi gawang lawan.

Namun skuad The Titans bimbingan Rahmad Darmawan turut mengintai ruang melakukan asakan menerusi Samassa pada minit ke-44 namun tandukannya tinggi melepasi palang gol skuad Hijau Putih.

Kehadiran kira-kira 12,000 penyokong setia nyata menjadi azimat berharga buat MU untuk merapatkan jurang menerusi import Woo Young tiga minit babak kedua berlangsung diikuti percubaan Spasojevic minit ke-52 namun berjaya ditepis penjaga gol Muhammad Izzudin Hussin.

Selepas itu segala usaha tuan rumah untuk menambah gol tidak berhasil sekali gus menyaksikan sekurang-kurangnya satu mata gagal diraih bagi menghadiahkan kegembiraan kepada penyokong  setia mereka meskipun diberi lima minit masa tambahan.

Malah kekalahan itu harus memberi pengajaran buat MU untuk menyediakan saingan lebih gah ketika berdepan PKNS FC di pentas Piala FA Selasa depan di gelanggang sama.

Berita Harian X