Sabtu, 11 Februari 2017 | 4:15pm

Australia bergelut padam hampir 50 kebakaran

AGENSI perkhidmatan kecemasan Australia bersedia dengan sebarang kemungkinan ketika anggota bomba bergelut memadam hampir 50 kebakaran di New South Wales (NSW) hari ini. - Foto AFR Weekend

SYDNEY: Agensi perkhidmatan kecemasan Australia bersedia dengan sebarang kemungkinan ketika anggota bomba bergelut memadam hampir 50 kebakaran di New South Wales (NSW) hari ini, susulan gelombang haba melanda pantai timur negara itu.

Jabatan kaji cuaca bimbang suhu mencecah 48 darjah Celsius di sesetengah kawasan, mencatat rekod sebagai Februari paling panas di negeri itu.

Orang ramai dilarang memulakan kebakaran dan sesetengah acara besar sukan dibatalkan.

"Ia bukan musim panas biasa. Keadaan mungkin bertambah buruk," kata Ketua Jabatan Bomba negeri, Shane Fitzimmons, yang bergelut memadam 49 kebakaran belukar menjelang tengah hari.

Ribuan penduduk berkumpul di kawasan pantai untuk menyejukkan diri, namun pengawal pantai memberi amaran supaya berada berhampiran pantai dan mengambil langkah berhati-hati terhadap cuaca terik.

"Kami mahu orang ramai berhati-hati terhadap tanda strok haba.

"Mesej pertama ialah kekal hidrat dan ia amat penting pada hari seperti hari ini," kata seorang jurucakap perkhidmatan itu. - Reuters

Berita Harian X