Sabtu, 11 Februari 2017 | 12:59am

Rakyat Iran berarak bantah Trump


RATUSAN ribu penduduk Iran berhimpun di Dataran Azadi. - Foto EPA

ANKARA: Ratusan ribu penduduk Iran berhimpun untuk menyatakan sokongan terhadap kerajaan dan menolak amaran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kepada Republik Islam itu.

Antara yang berarak ke Dataran Azadi (Kebebasan) pada ulang tahun Revolusi Islam Iran 1979 sempena penggulingan Shah Mohammad Reza Pahlavi yang disokong AS, adalah beratus anggota tentera dan polis.

Mereka membawa kain rentang 'Mati Amerika' dan patung menyerupai Trump sambil pancaragam polis tentera memainkan lagu tradisi revolusi Iran.

Televisyen tempatan menunjukkan rakaman penduduk memijak gambar Trump di tengah jalan di Tehran.

Peserta perarakan juga membawa bendera Iran dan kain rentang bertulis, 'Terima kasih Mr Trump kerana menunjukkan wajah sebenar Amerika.'

Minggu lalu, Trump meletakkan Iran 'dalam notis' selepas ujian peluru berpandu Iran 29 Januari lalu dan melaksanakan sekatan baharu ke atas individu dan entiti.

Iran menyatakan ia tidak akan menghentikan program peluru berpandunya. - Reuters

Berita Harian X