Sabtu, 11 Februari 2017 | 12:01am

Puas, kenyang, murah dengan Western Dalam Dulang

MADELINE bersama juadah Western Dalam Dulang. - Foto Haika Khazi

KEHADIRAN pelanggan yang semakin ramai menyebabkan lebih 10 kakitangan Restoran Nasi Ayam Gulai Kawah di Bandar Baru Bangi ini tidak menang tangan untuk mengambil pesanan, mengemas, menghantar pesanan dan memasak menu yang diminta.

Menu utama yang popular di sini ialah Western Dalam Dulang.

Kebanyakan pelanggan beranggapan harganya amat berpatutan, setimpal dengan makanan yang ditawarkan kerana set Western Dalam Dulang itu mengandungi dua keping Lamb Chop, sekeping Chicken Chop, kentang goreng, enam ketul BBQ Chicken Wings; bebola daging; Coleslow dan Spagehetti Bolognaise.

Tidak hairanlah ada pelanggan sanggup menunggu lama untuk menikmati hidangan makanan ala barat yang dihidang secara 'shell out' dalam dulang aluminium.

Restoran ini tidak menawarkan makanan Barat saja, sebaliknya turut menyediakan pelbagai hidangan Melayu seperti Nasi Lemak Enam jenis sambal iaitu sambal Kelantan, Johor, Perak, Pahang, Kedah dan Melaka, selain sup, gulai kawah dan minuman kordial diberikan secara percuma.

Pemilik restoran Nasi Ayam Gulai Kawah, Madeline Urai Ajang, berkata beliau menjenamakan semula kedai makan dibuka lebih setahun lalu itu selepas konsep perniagaan asalnya kurang mendapat sambutan masyarakat setempat yang lebih gemarkan masakan Melayu.

ANTARA juadah Western Dalam Dulang. - Foto Haika Khazi

ANTARA juadah Western Dalam Dulang. - Foto Haika Khazi

Kawal kualiti sentiasa dijaga

Selepas membuat penyelidikan dan berbincang dengan pekerjanya, Madeline mendapat ilham memperkenalkan makanan Barat dalam Dulang sejak Oktober lalu kerana orang ramai sekarang memang tergila-gilakan dan sentiasa mencari-cari restoran yang menu menjual 'shell out' makanan laut.

"Saya bersyukur kerana konsep ini mendapat sambutan daripada orang ramai terutama penduduk Bandar Baru Bangi. Malah, pelanggan baharu datang ke restoran ini pada waktu petang dan malam kerana mahu mencuba hidangan makanan Barat dalam dulang.

"Saya kena sentiasa memantau kualiti makanan terutama sos lada hitam dan kuah Spagehetti Bolognaise bagi memastikan ia memenuhi cita rasa pelanggan," katanya.

MADELINE membantu Cef Muhammad Sabri Safie menyediakan menu Western Dalam Dulang. - Foto Haika Khazi

Tidak menerima tempahan

Restoran ini tidak menerima tempahan awal kerana berasakan tidak adil kepada pelanggan yang terpaksa berbaris untuk mendapatkan meja bagi menikmati hidang terbabit.

Madeline menasihatkan orang ramai supaya datang seawal jam 6 petang jika tidak mahu beratur dan bersesak untuk mendapatkan tempat duduk selepas waktu Maghrib.

Penjawat awam dari Putrajaya, Mohamad Akmal Zainal, 28, berkata beliau dan rakannya sering berkunjung ke restoran itu untuk menikmati Western Dalam Dulang kerana harganya amat berpatutan, sedap dan berkualiti, selain kuantitinya banyak.

Katanya, beliau menyukai konsep dan cara menu berkenaan dihidangkan iaitu di dalam dulang kerana mengingatkan mengenai kehidupannya di kampung.

"Saya sukakan rasa daging kambing segar dan kepak ayam (Chicken Wings) yang dipanggang dan dihidangkan bersama sos lada hitam kerana kurang berlemak.

"Dari segi saiz, hidangan set Western dalam Dulang ini memang besar, tidak mampu dihabiskan jika makan berdua atau bertiga," katanya.

KONSEP ini mendapat sambutan daripada orang ramai terutama penduduk Bandar Baru Bangi. - Foto Haika Khazi

INFO: Restoran Nasi Ayam Gulai Kawah

Lokasi: B-12-G Pusat Beli Belah Bangi Gateway,

Seksyen 16, Bandar Baru Bangi,

Waktu Operasi: 6 petang hingga 11 malam, setiap hari

FAKTA NOMBOR:

  • RM49.50 - Harga hidangan Western dalam Dulang
  • 90 set - Jumlah dijual setiap hari
  • Setiap satu hidangan mengandungi lamb chop, chicken chop, BBQ Chicken Wings', bebola daging; 'Coleslow' dan 'Spagehetti Bolognaise
Berita Harian X