Jumaat, 10 Februari 2017 | 8:22pm

Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang 2017 tarik 40 negara


Tee Siew Kiong (lima dari kiri) diiringi Yang dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Hasrin Kamal Hashim (empat dari kiri) bersama wakil penaja bersempena Pra-Pelancaran Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang di AEON Tebrau, Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini

JOHOR BAHRU: Lebih 200,000 pengunjung dijangka mengunjungi Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang di Bukit Layang-layang, Taman Bandar dekat sini, 22 hingga 26 Februari ini.

Festival yang memasuki edisi ke-22 penganjuran turut menyaksikan penyertaan 40 negara membabitkan lebih 1,000 peserta antarabangsa dan tempatan bagi tujuh kategori.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong, berkata festival membabitkan 200 gerai itu bakal merancakkan industri pelancongan negara.

Bertemakan `Perkongsian Bersama Komuniti', ia dijangka disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, pada 24 Februari ini.

"Inisiatif seperti ini memberi impak yang besar dalam menjana sektor pelancongan di Johor khususnya dan Malaysia amnya bagi memastikan pelancong datang ke negeri ini menerusi promosi tempat menarik, serta penganjuran acara pelancongan termasuk Festival Chingay Johor.

"Ini sebagai menyokong produk dan industri pelancongan sedia ada kerana Johor kaya dengan pelbagai tarikan eko-pelancongan dan agro-pelancongan berikutan keindahan alam semula jadi, pantai dan pulau peranginan.


Tee Siew Kiong (dua dari kanan) menyaksikan lukisan wau yang menjadi antara tarikan pameran bersempena Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang pada majlis Pra-Pelancaran Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang di AEON Tebrau, Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini

"Aliran pelancong ke Johor memang ketara dengan tiga juta pelancong dicatat bagi tempoh tiga tahun, iaitu dari 3.9 juta orang pada 2012 sehingga 6.95 juta pelancong pada 2015," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Prapelancaran Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Hasrin Kamal Hashim.

Siew Kiong berkata, pelancong terbesar yang menyumbang kepada peningkatan jumlah ini termasuk dari Singapura, Indonesia, India, selain China dan Asia Barat.

14 dibaca
Berita Harian X