Jumaat, 10 Februari 2017 | 7:52pm

KEMAS bantu keluarga mangsa nahas

MELAKA: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menyalurkan bantuan kepada keluarga mangsa kemalangan yang mengorbankan tiga beranak di Kampung Balik Bukit, Telok Mas, di sini, Rabu lalu.

Selain menjadikan keluarga itu sebagai keluarga angkat KEMAS, jabatan turut menguruskan tuntutan insurans seorang daripada mangsa, Nur Balqisha Amani Mohd Lazi, 5, yang baru mendaftar di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) KEMAS Kampung Balik Bukit, awal bulan lalu.


AHMAD Kamal Idris Mohd Nawawi (kiri) melawat dan menyampaikan sumbangan kepada balu Allahyarham Mohd Lazi Mohd Taher, Erma Abd Samad di Kampung Tambak Bugis. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) KEMAS, Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Ketua Menteri Melaka dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri bagi mendapatkan bantuan kewangan dan barangan makanan secara bulanan kepada isteri mangsa, Erma Abd Samad, 32, untuk meringankan beban keluarga itu.

"Setiap anak yang mendaftar dalam TABIKA KEMAS dianggap sebagai keluarga KEMAS, termasuk ahli keluarga mereka.

"Keluarga ini akan dijadikan anak angkat jabatan dan segala bentuk kursus kemahiran dikendalikan KEMAS akan berikan keutamaan kepada isteri arwah," katanya selepas menyertai bacaan Yasin dan tahlil serta menyampaikan sumbangan kepada Erma di Kampung Tambak Bugis, di sini, hari ini.

BH semalam melaporkan, Mohd Lazi Mohd Taher, 35, dan dua anak perempuannya, Nur Balqisha Amani dan Nurfarisha Amanina, 8, maut digilis lori di Kampung Balik Bukit.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, Mohd Lazi yang menunggang motosikal selepas mengambil dua anaknya dari TABIKA KEMAS dan Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Mas di sini.

Berita Harian X