Jumaat, 10 Februari 2017 | 6:09pm

Gerhana Bulan Penumbra pagi esok


- Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan sebahagian daripada fasa Gerhana Bulan Penumbra pada jam 7.25 pagi esok.

Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dalam satu kenyataan hari ini berkata, fenomena itu dapat disaksikan di Malaysia seawal jam 6.34 pagi dan berakhir pada 10.53 pagi.

Menurut agensi itu, Gerhana Bulan Penumbra berlaku apabila bulan memasuki bayang-bayang penumbra bumi dan kelihatan sedikit gelap.

"Matahari, bumi dan bulan berada dalam kedudukan yang mana bulan membelakangi bumi dan hanya menerima sebahagian daripada bayang-bayang bumi jatuh ke atas bulan.

"Oleh itu, sukar membezakan antara bulan penuh normal dan Gerhana Bulan Penumbra.

 

"Agak sukar juga melihat perubahan di permukaan bulan ketika fenomena ini.

 

"Ia mungkin kelihatan lebih jelas dengan bantuan peralatan seperti teleskop atau binokular. Faktor cuaca turut mempengaruhi," katanya.

ANGKASA tidak mengadakan program pencerapan untuk orang awam untuk fenomena itu.

Berita Harian X