Jumaat, 10 Februari 2017 | 10:15am

205 PATI warga Indonesia dihantar pulang


SEBAHAGIAN 205 PATI warga Indonesia yang dihantar pulang ke negara asal melalui Terminal Feri Tawau. - Foto Ihsan Jabatan Imigresen Tawau

TAWAU: Seramai 205 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang ditahan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau dan Kota Kinabalu, dihantar pulang ke negara asal mereka petang semalam.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Jabatan Imigresen Tawau, Asparinah Mohd Zain, berkata kesemua PATI iaitu 133 lelaki, 56 wanita serta 11 kanak-kanak itu dihantar pulang menggunakan tiga feri yang bertolak dari Terminal Feri Tawau, jam 3 petang.

"Tindakan pengusiran dan menghantar pulang kesemua 205 PATI berumur lingkungan setahun hingga 65 tahun itu adalah siri pertama untuk tahun 2017 membabitkan pendatang asing warga Indonesia," katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Asparinah berkata, mereka adalah PATI yang ditahan dalam operasi bersepadu dijalankan Jabatan Imigresen Sabah di kawasan Kota Kinabalu, Menggatal, Papar dan Tawau, selain serahan daripada polis atas pelbagai kesalahan imigresen.

"Kesalahan dilakukan PATI terbabit adalah mengikut Seksyen 6(1)(c) iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 kerana masuk ke negara ini menerusi laluan tidak diwartakan," katanya.

Berita Harian X