Jumaat, 10 Februari 2017 | 7:51am

Salji tebal landa timur laut AS


RIBUT salji tebal melanda kawasan timur laut Amerika Syarikat, sehingga memaksa pembatalan beberapa penerbangan, selain sekolah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ditutup. - Foto AFP

NEW YORK: Ribut salji tebal melanda kawasan timur laut Amerika Syarikat, semalam sehingga memaksa pembatalan beberapa penerbangan, selain sekolah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ditutup.

Salji setebal 35 sentimeter menenggelamkan sekitar bandar New York dan lain-lain bahagian di timur laut, sejak Rabu.

Laman web The FlightAware melaporkan hampir 3,000 penerbangan keluar dan masuk di tiga lapangan terbang utama di New York, Boston dan Philadelphia terpaksa dibatalkan.

Sementara itu, Datuk Bandar New York, Bill de Blasio menasihatkan orang ramai supaya tinggal di dalam rumah dan mengelak daripada menggunakan jalan raya.

The New York Times yang memetik Perkhidmatan Kajicuaca Kebangsaan berkata, ribut salji melanda beberapa kawasan di Connecticut and Massachusetts.

PBB turut mengumumkan penutupan operasi ibu pejabat badan dunia itu di New York berikutan 'keadaan cuaca yang tidak mengizinkan'.

Gabenor New Jersey, Chris Christie dalam kenyataannya turut mengumumkan penutupan operasi pejabat kerajaan, semalam khususnya membabitkan pekerja bukan kecemasan. - AFP

Berita Harian X